Saturday, July 19, 2014

KEK KARAMEL

Assalamualaikum WBT

Hari ini Mina ingin berkongsi dengan pembaca satu resipi kek yang memang sedap dan enak lagi mempesonakan. Kek tersebut adalah Kek Karamel. Kek Karamel ini memang sangat terkenal di Malaysia. Rasa keknya yang lembut dan basah, diregukan pula dengan karamel yang lemak dan manis. Memanglah rasanya tersangat menggoda iman. Siaplah pada sesiapa yang tidak tahan dugaan, memang kecundang akhirnya. Mahunya, setengah loyang dikerjakan seorang.

Hari ini Mina tidak mahu berceloteh panjang ya sebab Mina ingin fokus pada menulis resipi ini. Hendak mengusik Cik Ton pun, Mina rasa tidak tergamak sebab nampak gayanya Cik Ton sedang ditimpa musibah sakit gigi. Zalimlah Mina jika ada niat hendak menyakatnya hari ini. Baiklah, jom kita terus menyalin resipi dan saksikan segala visual yang telah Mina sediakan untuk entri kali ini. Mina menulis resipi ini menggunakan kaedah langkah demi langkah supaya pembaca mudah faham ya.

Langkah pertama: Sediakan loyang untuk membakar kek. Untuk sukatan adunan kek ini, Mina menggunakan loyang bersize 8 x 8 ya. Lap kering loyang tersebut dan masukkan 2 suduh besar gula pasir ke dalamnya. Kita akan membuat gula hangus sebentar lagi. Buka api kecil, tenggekkan loyang di atas tungku dapur dan biarkan gula tersebut larut, cair hingga menjadi keperangan. Kemudian, dengan menggunakan kain penebat haba, angkat loyang tersebut dan mula melengserkan gula hangus itu merata pada permukaan dasar loyang tersebut. Kemudian, tutup api dapur dan biarkan gula hangus tersebut sejuk dan mengeras.

Langkah kedua: sediakan sebiji mangkuk. Masukkan 1 tin susu cair, 70 gm gula kastor dan 1/2 sudu kecil esen vanilla. Pukul dengan menggunakan whisk hingga gula larut. Kemudian, masukkan 4 biji kuning telur. Pukul dengan pukulan yang perlahan tetapi sekata. Kemudian, ambil loyang yang ada gula hangus tadi, tuangkan adunan ini dan pastikan anda menapiskannya semasa proses penuangan ini berlangsung ya. Tuang dan tapis hingga habis dan ketepikan dahulu.

Langkah ketiga: Boleh gunakan mangkuk yang tadi ya. Tidak perlu dicuci. Masukkan 70 gm gula kastor, 3 biji kuning telur. 140 ml air putih dan 50 ml minyak masak. Pukul dengan menggunakan whisk sehingga gula hancur. Pada mangkuk yang lain ayak 150 gm tepung gandum bersama 1 sudu kecil serbuk penaik. Kemudian masukkan sedikit demi sedikit tepung yang telah diayak tadi ke dalam mangkuk yang telah kita pukul bancuhannya sebentar tadi. Pukul hingga sekata dan tepung tidak berketul-ketul.

Langkah keempat: Untuk proses merinque ini. Ambil 7 biji putih telur yang telah kita asingkan tadi dari kuningnya. Semasa proses pengasingan ini berlaku, pastikan telur kuning anda tidak pecah ya. Ini kerana, jika ada serpihan kuning telur walau sedikit ke dalam putih telur, ia akan mengancam kegebuan putih telur semasa proses merinque tersebut. Sediakan mangkuk dan masukkan 7 biji putih telur, 70 gm gula kastor dan 1/2 sudu kecil krim of tartar. Pukul menggunakan mixer dengan kelajuan yang tinggi hingga putih telur itu naik menggebu-gebu. Untuk memastikan yang tahap kegebuan itu tercapai ialah dengan menterbalikkan mangkuk merinque tersebut. Jika putih telur itu tidak jatuh, itu tandanya anda sudah berjaya. 

Langkah kelima: Campurkan merinque tersebut ke dalam bancuhan tepung yang telah kita sediakan tadi. Kacau secara kuap balik mengikut huruf 8 hingga sekata. Tidak perlu lama sebab kita tidak mahu bancuhan tepung dan telur ini kehilangan udara yang akan mengebukan kek yang akan kita bakar nanti. Setelah itu, bahagikan adunan kek ini kepada 3 bahagian dan warnakan ianya sesuka hati mu saja.

Langkah keenam: Panaskan oven pada suhu 170 darjah Celcius dengan menggunakan api bawah sahaja. Panaskan air pada cerek juga ya. Kita akan menggunakan kaedah steam bath semasa membakar Kek Karamel ini nanti.






Langkah ketujuh: Ambil loyang yang telah kita isi dengan gula hangus dan susu tadi. Masukkan adunan tepung yang telah kita adun dan warnakan sebentar tadi secara berselang seli seperti gambar di atas. Buat dan ulang hingga adunan itu habis.






Langkah kelapan: Dengan menggunakan lidi satay, lorek dan lukis corak seperti sarang labah-labah. Jika anda tidak mahu meloreknya pun tidak mengapa. Kemudian, sediakan loyang yang lebih besar untuk kita masukkan air panas ke dalamnya. Kemudian, masukkan pula loyang adunan kek itu ke dalam loyang yang berisi air panas tersebut. Pastikan ukuran loyang air panas itu muat masuk ke dalam oven milik anda. Kemudian, bolehlah terus kita masukkan 2 loyang yang saling bertindihan ini ke dalam oven. Bakar selama 1 jam ya.






Satu jam kemudian, beginilah hasil yang kita dapat setelah melalui berbagai proses pengadunan yang penuh cabaran dan debaran.






Tunggu sehingga Kek Karamel ini sejuk sedikit dan mengecut. Kemudian, bolehlah kita menterbalikkannya ya.






Untuk membalikkan kek ini juga ada caranya ya. Pastikan anda menggunakan spatula besi dan sisip di sekeliling kek tersebut untuk melonggarkannya dari melekat ke dinding loyang. Ambil papan kek dan tutup ke atasnya lalu anda terbalikkan kek tersebut dengan segera. Beginilah hasilnya ya. Cantik tak?. Gebu tak?. Kek Karamel ini perlu di simpan di dalam peti sejuk. Ianya juga lebih sedap dimakan ketika sejuk.







Nampak tak warna dan corak Kek Karamel yang telah Mina potong sebentar tadi. Lawa kan?. Perasan pula Mina ini.






Potongan besar Kek Karamel ini untuk Mina. Nampaknya Cik Ton tidak dapat menikmati keenakan rasa Kek Karamel ini kerana Cik Ton sakit gigi. Kasihan Cik Ton kan.  






Di sini juga Mina sediakan beberapa gambar Kek Karamel yang sempat Mina snap semasa proses membuatnya. Bolehlah anda lihat untuk menambahkan lagi idea dalam meletakkan warna ke dalam bancuhan Kek Karamel anda nanti. Baiklah pembaca sekalian, hingga kita bertemu lagi di lain masa dan kesempatan. Jaga diri baik-baik dan jauhi dari bermain mercun. Raya dah nak dekat ni wehh. Selamat mencuba!















































Wednesday, July 16, 2014

SAMBAL GORENG PETAI

Assalamualaikum WBT

Hari ini hujan turun dengan lebatnya di kawasan rumah Mina. Suasana panas semenjak 3 hari lalu, kini bertukar dingin. Bauan bumi yang baru ditimpa hujan semerbak harum menusuk rongga hidung. Fresh sungguh Mina rasakan petang ini. Cewahhh...bukan main lagi Mina hari ini. Ibarat penyair yang sedang mendeklamasikan sajaknya.

Cik Ton apa khabar?. Cik Ton nampak sangat ceria hari ini. Senyum melebar hingga ke telinga. Apa rahsianya Cik Ton?. Apa??. Cik Ton baru terima bonus pagi tadi?. Wahhh...Minggu ini Cik Ton sudah boleh pergi shopping mopping keperluan raya. Pembaca yang lain pula bagaimana?. Bagaimana dengan persiapan Hari Raya anda?. Semuanya sudah sedia?. Keperluan menyambut ketibaan Syawal itu perlu tetapi biarlah bersederhana dan berpada-pada ya kawan-kawan. Sediakanlah mengikut kemampuan diri sendiri. Apa-apapun pilihan ada ditangan kita. Kita yang mencorak segalanya mengikut iman dan akal. Nafsu kita letak di tempat terakhir ya.

Baiklah, sebelum ini sudah tiga entri berturut-turut Mina keluarkan resipi kuih raya. Hari ini Mina ingin berkongsi dengan pembaca satu resipi lauk yang menjadi kesukaan Mina dan anak-anak. Mina namakan resipi ini Sambal Goreng Petai. Cik Ton, kau jangan asyik berangan je kat situ, jom salin resipi ini.





Bahan-bahan utama: 5 keping tempe, 5 keping tauhu, RM 2 hati ayam, RM 2 pedal ayam, RM 5 udang basah, 2 papan petai, 1 bungkus plastik campuran kulit tauhu kering dan suun, sebiji lada merah (hiris halus), RM 1 santan, 2 sudu besar kicap manis, perasa, garam dan minyak untuk menumis.

Bahan-bahan kisar: 2 ulas bawang putih, 1 labu bawang besar, 5 helai lada kering

Langkah pertama: Bersihkan udang, pedal dan hati ayam. Masukkan pedal dan hati ayam ke dalam periuk dan rebus dengan meletakkan sedikit halia yang telah dititik. Rebus hingga empuk ya. Setelah empuk, sejukkan sebentar dan potong mengikut size sederhana. Petai hendaklah dikeluarkan dari kulitnya. Mahu letak sebiji sebiji pun boleh. Barulah umphh rasanya nanti. Kulit tauhu kering dan suun kering hendaklah direndam terlebih dahulu. Kemudian gunting mengikut size sederhana. Tempe dan tauhu hendaklah dipotong dadu dan selepas itu digoreng membal (ini bahasa German). Maksud membal itu ialah digoreng dengan cara sederhana. Tidak terlalu garing ya pembaca.

Langkah kedua: Panaskan kuali dan masukkan minyak untuk menumis. Masukkan pula bahan-bahan kisar dan kacau hingga naik baunya ya. Bukan naik bau badan. Yang ini Mina tidak suka. Selepas itu, masukkan pula udang yang telah dibersihkan tadi. Masukkan kicap manis. Masukkan pula santan dan kacau lagi. Masukkan serbuk perasa dan garam. Kacau. Setelah kuah mendidih, kecilkan sedikit api dapur. Masukkan pula pedal dan hati ayam yang telah direbus dan dipotong tadi. Masukkan tauhu dan tempe goreng. Masukkan kulit tauhu kering dan suun yang telah direndam dan digunting tadi. Kacau hingga rata. Akhir sekali, masukkan petai dan hirisan lada merah. Gaul hingga sekata dan bolehlah dipadamkan api dapur.

Cuba perhatikan gambar Sambal Goreng Petai yang telah Mina sediakan di atas. Begitulah rupa kejadiannya ya pembaca. Sebenarnya, sambal goreng ini ada bermacam-macam versi dan stylenya. Jika ada masa nanti, Mina akan kongsikan dengan pembaca resipi sambal goreng yang versi lain pula ya. Baiklah, sudah lewat petang ni, Mina ingin ke dapur untuk menyediakan juadah berbuka puasa. Tengahari tadi kawan Mina telah menghantar seekor ikan merah yang masih segar lagi. Ikan merah pancing katanya. Kepala ikan merah tersebut Mina ingin masak kari letak kacang bendi dan tomato. Manakala potongan badannya pula, Mina ingin menggorengnya sahaja. Buat pula sambal belacan perah air asam limau. Perghhhhh....sure boleh meletop selera makan Mina hari ini. Daaaaaa....Jumpa lagi tau!





Monday, July 14, 2014

CORNFLAKES MADU BERKACANG

Assalamualaikum WBT

Salam sejahtera buat pembaca setia blog Dari Dapur Mina. Semalam Mina berbuka dengan Sup Tulang yang dicicah bersama roti. Entah mengapa, bulan puasa tahun ini, malas sungguh Mina hendak beriya-iya memasak lauk pauk yang pelbagai. Agaknya perut Mina sudah mengecil kot. Itu yang membuatkan selera makan Mina semakin berkurang hari demi hari.

Sebenarnya pembaca sekalian, ada beberapa jenis biskut, kerepek dan kek yang merupakan menu kesukaan dan wajib ada pada musim Hari Raya di rumah Mina. Jika tidak ada menu tersebut, kiranya tidak sempurna lah Hari Raya Mina. Biskut yang paling Mina gemari dan wajib ada adalah Biskut Tart Nenas dan Biskut Almond London. Kerepek pula adalah Rempeyek Kacang Tanah, Kerepek Ubi dan Maruku. Kek pula adalah Kek Marble, Kek Buah dan Kek Lapis Asam.

Nampaknya Mina telah keluarkan 2 jenis entri biskut kegemaran Mina beberapa hari yang lalu. Hari ini Mina akan melengkapkan lagi satu jenis kuih raya. Kaedah penyediaan dan pembuatannya sangat simple dan sederhana ya pembaca. Namun, rasanya sangat sedap. Kiranya, sangat berbaloi. Kanak-kanak memang suka akan rasa lemak manisnya. Mina namakan resipi ini Cornflakes Madu Berkacang. Nampaknya Cik Ton tidak ada. Tiada orang yang hendak Mina sakat hari ini. Jom kita salin resipi. Selepas ini Mina hendak berehat sebentar. Panggilan bantal sudah tiba.




Bahan-bahan utama: 80gm mentega, 1/3 cawan madu, 1 sudu besar gula, 4 cawan cornflakes, 1 sudu besar bijan (disangai), I/4 cawan badam cincang (disangai), 1/2 cawan kacang tanah (disangai dan dibuang kulit) dan cup kertas.

Langkah pertama: Sangai badam cincang, bijan dan kacang tanah secara berasingan ya. Ini kerana, masa yang diambil untuk menggaringkan bahan-bahan tersebut berbeza. Sebab itu perlu disangai secara berasingan. Jika anda mahu membakarnya ke dalam oven juga boleh. Tetapi perlu rajin membalik-balikkan bahan-bahan itu supaya pembakarannya menjadi sekata. Selepas siap disangai atau dibakar, sejukkan dan simpan di dalam bekas kedap udara. Buat tugasan menyangai ini sehari lebih awal sebelum tugasan menyira dilakukan keesokkan harinya.




Langkah kedua: Sediakan cup kertas dan lerai satu per satu. Kemudian, sediakan periuk, masukkan mentega, gula dan madu. Panaskan di atas dapur sehingga mentega, gula dan madu cair dan bersatu. Setelah itu, tutup api.

Langkah ketiga: Masukkan cornflakes, badam cincang, kacang tanah dan bijan ke dalam besen. Kemudian, tuang cairan tadi ke atasnya dan digaul rata. Isikan ke dalam cup kertas hingga selesai. Sebelum itu, pastikan anda telah memanaskan oven dengan suhu 170 darjah Celsius menggunakan api atas dan bawah. Setelah selesai semua tugasan itu, sila masukkan ke dalam oven dan bakar selama 5 minit untuk menggaringkan Cornflakes Madu Berkacang itu.





Maaflah ya, gambar tidak berapa jelas kerana Mina hanya menggunakan smartphone sahaja. Malas pula Mina hendak mengeluarkan DSLR yang sudah terperuk lama sebab tidak digunakan. Almaklumlah, akhir-akhir ini Mina jarang keluar bersiar-siar di sesuatu tempat seperti dahulu. Masa banyak dihabiskan dengan sesuatu yang lebih bermanfaat. Jika anda suka dengan resipi ini, sila lah mencubanya. Jangan malu dan jangan segan tau. Mina hendak tidur dulu. Selamat mencuba!




BISKUT ALMOND LONDON

Assalamualaikum WBT

Nampaknya Hari Raya akan menjelang tidak lama lagi. Tentu kaum wanita di luar sana sedang sebuk berhempas pulas membersihkan rumah, mencuci langsir, membuat biskut dan segala macam kerepek. Orang kampung Mina pasti sedang sebuk membuat kuih Bahulu, Bangkit Santan dan Putu Kacang. Kuih-kuih tradisional lagi eksotik seperti ini memang perlu dibuat awal. Biasanya kuih-kuih ini akan dibuat dalam kuantiti yang banyak. Almaklumlah, ramai saudara mara yang akan datang bertandang dan pastinya tetamu akan dijamu dengan kuih-muih tradisional itu.

Baiklah, hari ini Mina ingin berkongsi satu lagi resipi yang sedap, enak, lemak, manis, berkrim, bercoklat dan disukai kanak-kanak. Biskut ini Mina namakan Biskut Almond London. Mina pasti semua pembaca sudah pernah merasai akan keenakan rasa biskut yang sangat popular ini. Walaupun rupa biskut ini sama, namun rasanya berbeza-beza mengikut jenis bahan-bahan yang telah digunakan. 

Untuk makluman semua, coklat yang Mina gunakan adalah dari jenis coklat Vochelle Dairy Milk kerana anak-anak Mina tidak gemar jika Mina menggunakan coklat masakan biasa yang ada dijual di kedai-kedai barangan kek. Kata mereka, rasa coklat masakan yang ada di pasaran tidak lemak berkrim seperti coklat yang biasa mereka makan begitu sahaja. Oleh itu pembaca, jika anda ingin menggunakan coklat jenis bersusu seperti yang Mina telah gunakan, pastikan Biskut Almond London anda disimpan ke dalam peti sejuk supaya coklatnya tidak mudah cair. 

Kenapa Cik Ton hari ini nampak macam letih saja?. Apa dia Cik Ton?. Ohhh...Semalam Cik Ton terlepas bangun sahur ya. Itu lah, siapa suruh Cik Ton tengok bola semalam?. Menghidupkan malam dengan bertahajud dan membaca Al-Quran kan lebih bagus Cik Ton. Tahukah Cik Ton, rumah yang penghuninya sentiasa melazimi dengan membaca Al-Quran, ianya akan bercahaya seperti cahaya bintang-bintang yang bergemerlapan di langit. Jom kita sama-sama melazimi membaca Al-Quran setiap masa. 




Bahan-bahan utama: 1 buku mentega, 120gm gula ising, 350gm tepung gandum, 4 sudu besar tepung jagung, 1 biji kuning telur, 1 sudu teh esen vanilla, 100gm serbuk badam, badam biji secukupnya (perlu disangai atau dibakar), badam cincang untuk hiasan (perlu disangai atau dibakar), 500gm coklat masakan, 2 sudu besar minyak dan cup kertas.

Langkah pertama: Ayak tepung gandum dan tepung jagung terlebih dahulu. Masukkan mentega dan gula ising ke dalam mangkuk dan pukul hingga sebati. Jangan pukul hingga kembang sebab kita bukan mahu membuat kek ya. Kemudian, masukkan pula kuning telur dan esen vanilla. Gaul lagi. Masukkan serbuk badam kisar. Gaul dan masukkan tepung sedikit demi sedikit dengan menggunakan tangan. Gaul hingga doh menjadi cantik dan tidak melekat di tangan ya.





Langkah kedua: Balut badam yang telah disangai atau dibakar dengan doh tadi. Balutan hendaklah dengan kemas dan sempurna. Jangan main semberono saja tau. Balutannya tidak terlalu tebal atau nipis. Yang sedang-sedang sahaja sudah memadai. Setelah di balut, susun ke atas tray atau loyang pembakar. Setelah siap semua badam dibalut, sila bakar pada suhu 170 darjah Celcius dengan menggunakan api atas dan bawah selama 25 minit atau sehingga masak. Seperti biasa, sebelum proses pembakaran berlaku, oven perlulah dipanaskan selama 20 minit. Untuk pengetahuan semua, biskut badam ini perlu dibuat sehari awal sebelum proses salutan coklat dijalankan. Dalam bahasa pasarnya, hari ini kau buat badannya, esok kau pakaikan coklatnya. Ada faham Cik Ton?. Ini kerana, proses menyalut coklat lebih elok di laksanakan selepas biskut badam itu benar-benar sejuk fizikalnya.




Langkah ketiga: Keesokannya, sediakan kaedah double boiling bagi mencairkan coklat masakan ini ya. Patah kecil-kecil coklat tersebut supaya mudah mencair. Kacau hingga semua coklat itu cair. Apabila sudah cair sepenuhnya, masukkan 2 sudu besar minyak masak untuk mengilatkannya. Gaul hingga sebati. Ingat!. Jangan sampai coklat anda tercampur dengan air ya. Bimbang, coklat itu lambat membeku selepas proses menyalut berlaku nanti.

Langkah keempat: Sebelum mencairkan coklat masakan, pastikan anda telah menyusun biskut badam itu ke dalam cup kertas yang khas untuknya. Setelah itu pastikan cup kertas itu disusun rapat-rapat seperti gambar yang telah Mina lampirkan di atas. Ini kerana, coklat yang anda salut itu akan terbentuk bujur dan cantik apabila ia membeku nanti. Mina lebih suka menggunakan kaedah menyudukan coklat cair itu ke atas biskut badam yang telah tersedia di dalam cup kertas berbanding mencelupkan terus biskut badam ke dalam coklat. Ikutlah cara dan kreativiti anda masing-masing ya. Yang paling penting, Biskut Almond London anda siap dan boleh dimakan. Last but not least, tabur badam cincang yang telah disangai tadi ke atas Biskut Almond London itu.





Mina tunjukkan gambar close up ya. Beginilah hasilnya setelah anak-anak Mina bertungkus lumus menyediakan Biskut Almond London dengan keazaman yang sangat tinggi. Ingat ya, pastikan cup kertas itu disusun rapat-rapat agar cup kertas itu tidak terkangkang bentuknya kerana cairan coklat ini agak berat juga jisimnya. Akhir kalam, Mina sudahi dengan wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.





Sunday, July 13, 2014

BISKUT TART NENAS

Assalamualaikum WBT

Ada sesiapa yang telah mula membuat biskut raya?. Jika ada yang masih tercari-cari resipi Biskut Tart Nenas, di sini Mina ingin kongsikan bersama anda semua. Cik Ton sudah pernah mencuba membuat Biskut Tart Nenas dengan menggunakan resipi Mina ini. Cik Ton kata sedap a.k.a marvellous. Entah iya entahkan tidak si Cik Ton tu. 

Untuk makluman pembaca sekalian, pada kali ini, Mina hanya mengajar cara membuat cengkerangnya sahaja sebab inti nenas itu Mina telah beli yang siap guna brand NONA. Untuk mnyedapkan dan mencantikkan lagi inti nenas segera anda itu, Mina cadangkan supaya anda memanaskannya semula dan mencampurkan dengan 2 sudu besar mentega agar jem nenas anda jadi lembut, berkilat dan mudah untuk dibentuk. Jadi, semasa proses membentuk dan membulatkannya nanti, jem nenas itu tidaklah melekat lekit di jari anda yang serba runcing itu.

Baiklah, untuk tidak memanjangkan masa lagi, jomlah kita salin resipinya. Amboiii...Cik Ton, kereknya dia, mentang-mentanglah sudah expert buat Biskut Tart Nenas ini, eksyen bukan main lagi dia.




Bahan-bahan utama: 200 gm mentega (mina guna yang masin), 1 sudu besar minyak sapi, 2 biji kuning telur, 3 sudu besar gula ising, 4 sudu besar tepung jagung, 3 cawan tepung gandum dan jem nenas.

Langkah pertama: Masukkan mentega, minyak sapi dan gula ising. Pukul guna senduk hingga sebati. Tidak perlu lama-lama. Asalkan gula sudah sebati dan cair bersama mentega dan minyak sapi sudah memadai. masukkan kuning telur. Pukul lagi.

Langkah kedua: Ayak tepung gandum dan tepung jagung. Masukkan tepung sedikit demi sedikit ke dalam adunan mentega tadi. Uli menggunakan tangan hingga menjadi doh yang sempurna. Jika doh masih lembik, tambah sedikit tepung lagi tetapi jika doh sudah elok cantik, tidak payah habiskan baki tepung tersebut. Doh yang sempurna adalah doh yang sebati dan tidak melekat di tangan. Ada ngerti kamu?.





Langkah ketiga: Sediakan plastik pengalas, penggelek doh dan penerap. Bahagikan doh pada beberapa bahagian. Ambil bahagian pertama dan mula canai. Bahagian doh yang lain hendaklah ditutup dengan kain supaya doh itu tidak kering. Canai dengan ketebalan sederhana. Jangan terlalu nipis atau terlalu tebal. Yang sedang-sedang sahaja sudah memadai. Jika hendak lagi faham, sila rujuk pada gambarajah yang telah Mina sediakan ini.

Langkah keempat: Setelah terap cengkerangnya, sumbatkan pula jem nenas ke dalam lubang yang tersedia. Pastikan jem nenas itu telah anda bulatkan atau gentel terlebih dahulu. Jangan malas-malas tau, nanti Biskut Tart Nenas anda jadi bersememeh dan tidak cantik.






Langkah kelima: Bakar dalam ketuhar dengan suhu 170 darjah Celcius selama 25 minit atau sehingga masak. Mina hanya menggunakan api bawah sahaja.

Cuba lihat contoh Biskut Tart Nenas yang telah Mina sediakan di atas. Kemas tak kejadiannya?. Cantikkan?. Walaupun membuat biskut ini kerjanya sangat rumit dan leceh, namun untuk mendapat kepuasan yang maksima ketika makan nanti, Mina sanggup berkorban masa dan tenaga untuk membuatnya sendiri.






Inilah hasil Biskut Tart Nenas Mina setelah siap dibakar. Apa macam?. Cantik tak?. Rasanya juga sedap. Sekali makan pasti hendak lagi. Biasanya 1 loyang permulaan memang untuk Mina kunyah. Rasa lemak masin cengkerangnya bila bercampur dengan masam manis jem nenas itu memang mengancam. Kiranya bila makan memang susah berhenti. Asyik hendak mengunyah sahaja. Selamat Mencuba...Tataaa!




Friday, July 11, 2014

NASI MINYAK ABC

Assalamualaikum WBT

Apa khabar semua?. Selamat menjalani ibadah puasa dengan jayanya. Mina doakan agar kita semua sihat dan sentiasa berada dalam rahmat dan keberkatan Allah swt sentiasa. Ameen. Sebenarnya, di bulan puasa ini Mina mempunyai banyak masa terluang, sebab itulah Mina sempat untuk mengemaskini blog Dari Dapur Mina ini. Pada bulan-bulan lain, Mina sebuk dengan berbagai pengajian. Pengajian pelbagai kitab dan pengajian Al-Quran dan tajwid. Umur sudah menghampiri senja seperti Mina ini, apa lagi yang mahu Mina kejarkan jika bukan untuk diisi dengan mencari ilmu buat bekalan akhirat. 

Mina rasa Ramadhan tahun ini adalah Ramadhan yang paling sederhana buat Mina kerana dari mula berpuasa hingga ke hari ini, Mina belum pernah lagi menjejakkan kaki ke bazar-bazar Ramadhan yang sangat meriah pertumbuhannya. Mina lebih memilih memasak sendiri (tentu sahaja menu yang ringkas) dari membeli kerana Mina bimbang akan tahap kebersihannya. Baru-baru ini kawan Mina telah disahkan menghidap penyakit Kencing Tikus. Mudahnya hendak dapat sakit kawan-kawan tetapi hendak menyembuhkannya mengambil masa yang panjang. Hingga sekarang, beliau masih belum sembuh sepenuhnya. Sudah sebulan lebih jugalah beliau dijangkiti penyakit itu. Bak kata arwah nenek Mina, penyakit datang macam ribut, hendak sembuh macam semut. Kelas gitu nenek Mina. 

Panjang pula Mina bercerita pagi ini. Jomlah kita menyalin resipi. Seperti yang telah Mina janjikan semalam, hari ini Mina akan berkongsi resipi yang Mina beri nama Nasi Minyak ABC. Mina beri nama Nasi Minyak ABC ini adalah kerana bahan dan kaedah penyediaannya semudah kanak-kanak menghafal ABC. OK tak?. Jom kita tengok bahan-bahan apa yang telah Mina gunakan.






Bahan-bahan utama: 3 pot kecil beras basmathi (Mina guna beras biasa), 3 setengah pot kecil air (guna pot yang sama untuk menyukat beras), 1/2 cawan susu cair, sehelai daun pandan (simpulkan), 1 btg kecil kayu manis, i biji bunga lawang, 2 biji cengkih, 2 biji buah pelaga ( ini dipanggil rempah 4 sekawan), sedikit pewarna kuning, sedikit garam, 1/2 sudu besar minyak sapi (kalau tak ada, abaikan je), 2 sudu besar minyak masak untuk menumis.

Bahan-bahan kisar: 1/2 inci halia, 2 ulas bawang putih dan 1/2 labu bawang besar.

Langkah pertama: Cuci beras dan terus masukkan air yang telah disukat tadi. Guna periuk elektrik tau. Alaaa...buat macam cara kau hendak masak nasi biasa Cik Ton oi. Jangan kau buat muka seribu satu questions mark kat situ ea?. Ketepikan.

Langkah kedua: Ambil kuali kecil, masukkan minyak sapi dan minyak masak. Bila sudah panas, sila tumis rempah 4 kawan tadi dan daun pandan. Kacau sikit dan masukkan pula bahan kisar. Kacau lagi hingga bahan tumisan garing dan tutup api. Pindahkan kesemuan bahan tumisan bersama minyaknya ke dalam periuk nasi elektrik yang berisi beras dan air tadi ya. Hidupkan suis rice cooker dan masak seperti biasa. Masukkan garam dan susu. Gaul sedikit dan tutup dengan tudung periuk. Jangan guna tudung saji pula. Biarkan beras itu masak dengan sendirinya.

Langkah ketiga: Setelah air kering dan button 'cook' sudah bertukar menjadi 'warm' sila buka tudung periuk itu tetapi jangan kau gaul nasi itu dulu Cik Ton. Ambil lidi buat 3 lubang dan renjiskan sedikit pewarna kuning ke dalam lubang itu. Kemudian tutup semula tudung periuk nasi itu. Setelah 15 minit, buka kembali tudung periuk itu dan gaul nasi yang telah dimasak itu dari atas ke bawah. Tetapi jangan ganas-ganas sebab bimbang beras basmathi itu patah renyuk. Tidak cantiklah nanti.






Setelah digaul, beginilah hasilnya Nasi Minyak ABC Mina. Mina hanya guna beras biasa sahaja iaitu beras Cap Rusa. Jika kawan-kawan menggunakan beras basmathi rupa nasi minyak ini akan lagi cantik ya. Lagi satu Mina hendak beritahu, pewarna kuning itu boleh digantikan dengan saffron atau koma-koma. Nenek Mina pangill saffron koma-koma. Tetapi harga saffron sangatlah mahal.

Selepas anda merenjiskan sedikit pewarna kuning tadi, anda juga bolehlah memasukkan sedikit hirisan daun bawang, sedikit hirisan daun ketumbar dan sedikit bawang goreng. Disebabkan anak-anak Mina tidak suka ada benda asing seperti itu di dalam hidangan nasi mereka, maka Mina pun abaikan sahaja bahan-bahan tersebut. Jika mahu diikutkan selera anak-anak, rempah 4 kawan itu pun mereka tidak bagi Mina masukkan tau. Hendak-hendak kayu manis. Mereka cukup anti kayu manis. Takkan Mina tak letak pula, nanti nasi minyak Mina dah rasa macam nasi lemak pula kan. Anak-anak Mina ini memanglah...

Sebenarnya penyebab mereka tidak suka dengan rasa kayu manis adalah kerana semasa mereka kecil-kecil dahulu, Mina telah membawa mereka berkumjung ke rumah kawan arwah nenek Mina. Biasalah orang lama anak jati Johor. Mereka suka membuat ibu sirap dengan memasukkan kayu manis ke dalamnya. Itu yang bila anak-anak Mina minum air sirap buatan beliau, wujud rasa kepelikan di wajah masing-masing. Biasanya Mina beri mereka minum air sirap ros sahaja. Itu pun minuman cordial. Semenjak hari itu mereka amat tidak menggemari bau dan rasa rempah kayu manis.

Ada pembaca yang bertanya mengapa Mina tidak meletakkan rempah 4 kawan ini ke dalam masakan kari dan sup. Jawapannya, jika Mina masak untuk kuantiti yang banyak, Mina akan memasukkan sedikit rempah 4 kawan ini tetapi jika Mina masak hanya untuk seperiuk kecil sahaja, maka Mina akan abaikan bahan-bahan ini. Is it clear?. Thanks!






Baiklah, Semalam Mina sudah mengeluarkan entri resipi Ayam Panggang, jadi inilah regunya. Nasi Minyak ABC ini sangat ringan rasanya, budak kecil pun boleh makan. Jadi, bila dimakan bersama Ayam Panggang Resipi Tradisi itu, rasanya sangat ngam dan sedap. Tidak terlalu kaya dengan rempah ratus. Kan muak nanti. Dahlah Ayam Panggang itu berempah, nasi minyak pun hendak penuh dengan rempah ke?. Tercirit nanti kau Cik Ton. Bulan-bulan puasa macam ini, keselesaan perut kena jaga juga. Jangan marah tau!!




Thursday, July 10, 2014

AYAM PANGGANG RESIPI TRADISI

Assalamualaikum WBT

Selamat pagi semua. Pagi tadi sahur apa?. Mina suka bersahur dengan mengambil makanan yang ringan-ringan sahaja seperti roti, biskut, oat dan segelas air putih sudah pastinya. Tahukah kawan-kawan sekalian, amalan meminum air putih selepas bangun tidur adalah sangat baik untuk kesihatan tubuh badan kita. Dengan meminum segelas air putih, kita telah membantu sistem dan organ dalaman bekerja dengan lancar. Bukankah 70 peratus kandungan dalam tubuh kita adalah air?.

Ini bermaksud, jika tubuh badan kita kekurangan air, sistem di dalam tubuh kita secara tidak langsung akan bekerja keras menggunakan cecair yang ada di tubuh kita untuk meneruskan tugas rutin mereka. Takkan kita tergamak hendak menyiksa sistem dalaman tubuh kita sendiri kan?. Kesimpulannya, untuk membantu melancarkan tugas-tugas dalaman tubuh badan kita, marilah kita sama-sama mengamalkan kehidupan yang sihat dengan minum air putih sekurang-kurangnya 8 gelas sehari dan mengamalkan senaman ringan. Ada faham?.

Baiklah, hari ini Mina ingin berkongsi satu resipi yang rasanya telah 2 kali Mina keluarkan entrinya. Tidak mengapalah kawan-kawan sekalian, entri ini Mina keluarkan teristimewa buat adik-adik di luar sana yang banyak bertanyakan tentang sukatan bahan-bahan yang Mina gunakan untuk memasak Ayam Panggang Resipi Tradisi.

Jom Cik Ton, apa yang kau menungkan lagi kat situ. Cepat ambil pen dan kertas, resipi dah turun.






Bahan-bahan utama: 1 ekor ayam (dibelah 4), 2 biji kentang (dibelah 2), 2 biji bawang besar (dibelah 2), 2 biji tomato (jangan nak ngada-ngada nak belah ea), 2 batang serai ( ketuk, jangan tak ketuk), 1 paket rempah kari (Mina guna Babas), sedikit minyak masak, 2 sudu besar mentega atau marjerin, serbuk perasa, garam dan aluminium foil.

Bahan-bahan kisar: 1/2 inci halia, 1/2 inci kunyit (guna serbuk kunyit je), 3 ulas bawang putih, 1 labu bawang besar, 5 tangkai lada kering (kalau nak pedas, tambah lagi 5 tangkai ea) 1 sudu kecil ketumbar, 1/2 sudu kecil jintan kasar, 1/2 sudu kecil jintan halus, 1/2 sudu kecil lada hitam (jika suka) dan sedikit air.

Langkah pertama: Cuci ayam bersih-bersih. Cucuk badan ayam dengan menggunakan garpu. Berani kau seksa ayam ea Cik Ton. Tujuannya adalah untuk memudahkan rempah menyerap ke dalam badan ayam ketika proses memerap nanti.

Langkah kedua: Panaskan oven terlebih dahulu. Kemudian, Bahan kisar tadi dimasukkan ke dalam mangkuk. Campurkan dengan rempah kari, serbuk perasa dan garam. Gaul rata. Kemudian, lumurkan pada ayam yang telah dicucuk tadi. Lumur hingga merata ya. Letak ke tepi dahulu.

Langkah ketiga: Sediakan loyang untuk membakar. Tuangkan sedikit minyak ke dalam loyang tersebut. Susun ayam yang telah dilumur dan diperap tadi. Ambil serai yang telah diketuk tadi, dan siat lalu diselitkan pada susunan ayam. Kalau mahu lagi power rasanya, selitkan serai itu dicelah ketiak ayam, sure harum baunya nanti. Kemudian, susun bawang besar dan kentang yang telah dibelah tadi. Tomato jangan dilupakan ya. Susun sebiji sebiji macam dalam gambar di atas. Kemudian, renjiskan mentega atau marjerin ke atas ayam tadi. Jika suka manis, anda boleh renjiskan sedikit madu ke atas ayam. Ikutlah citarasa masing-masing ok.

Last but not least, ambil aluminium foil, balut atau tutup permukaan loyang pembakar itu. Ini adalah untuk memerangkap haba sepenuhnya semasa proses pembakaran berlaku. Daging ayam tidak akan kering kerana jusnya terperangkap di dalam balutan aluminum foil.

Langkah keempat: Masukkan ayam yang telah disediakan dengan sempurna tadi ke dalam oven dengan suhu 170-180 darjah Celcius. Selama 2 jam ya.






Selepas 2 jam bertarung dengan kepanasan haba di dalam oven, maka beginilah hasil yang dapat Mina saksikan. Kak Ton pun dah berjaya mencuba resipi ini. Pandainya Kak Ton. Anda perasan tak jus yang keluar dari hasil pembakaran tadi?. Kuah ayam itu sangat sedap. Anak-anak Mina selalu berebut mahukan kuah ayam panggang ini. Mina suka isi di bahagian peha. Sangat lembut tau. Bukan sahaja isinya lembut, malah tulang ayam ini juga boleh anda mamah.






Nampak tak gambar di atas?. Ini siapa yang punya?. Sudah pasti ini Mina yang punya. Bagi melengkapkan lagi keenakkan menikmati Ayam Panggang Resipi Tradisi ini, Mina telah membuat Nasi Minyak untuk meregukannya. Jika anda mahu makan dengan nasi putih pun sedap juga. Malah, makan bersama roti pun sedap kan Cik Ton?. Cik Ton makan dengan roti kan?. InsyaAllah, selepas ini Mina akan keluarkan entri Nasi Minyak pula. Bolehlah pembaca sekalian memasak menu ini untuk berbuka puasa nanti. Semoga berjaya!




AGAR-AGAR MILO

Assalamualaikum WBT

Selamat petang buat pembaca blog Dari Dapur Mina yang amat Mina kasihi sekalian. Sedang buat apa?. Tentu masing-masing sedang sebuk menyediakan juadah untuk berbuka puasa nanti. Apa saja yang sedang anda lakukan di sana, Mina harap anda semua akan sentiasa sihat dan gembira dalam menjalani ibadah puasa selama sebulan ini. Solat fardhu dan tarawih serta ibadah sunat yang lain sama-sama kita kerjakan. Kiranya, disamping kita menyediakan makanan fizikal, makanan untuk rohani juga usah kita abaikan. 

Baiklah pembaca sekalian, biasanya tekak kita sangat suka makan makanan sejuk lagi lembut teksturnya seperti puding dan agar-agar semasa berbuka. Betul tak?. Pasti betul kan. Mina pun suka. Jadi, petang ini Mina ingin berkongsi satu resipi puding yang rasanya sangat lemak, bermilo dan manis-manis buah sahaja. Sesiapa yang telah bersedia, mari sama-sama kita menyalin resipinya. Jom Cik Ton, apa yang kau berangan lagi kat situ. Resipi ini Mina namakan Agar-Agar Milo.






Bahan-bahan utama: 1 paket (10gm) agar-agar brand Nona ( kalau tak ada, kau hentam je brand lain Cik Ton), 1000 ml air, 1 cawan gula pasir, 1 cawan susu cair dan 1 cawan milo @ vico @ ovaltine. Acuan agar-agar jangan lupa disediakan ya.

Langkah pertama: Masukkan serbuk agar-agar dan gula ke dalam periuk. Kacau gunakan wisk ok. Selepas itu tenggek periuk tersebut ke atas tungku dapur. tuangkan air sedikit demi sedikit dan kacau dengan menggunakan wisk lagi. Buka api dapur. Jika tidak dikacau serbuk agar-agar yang sudah bercampur air tadi, Mina bimbang akan berketul-ketul jadinya. Kacau hingga gula hancur dan serbuk agar-agar melarut di dalam air panas tersebut. Pokoknya, kena tunggu hingga air itu sebati dan mendidih.

Langkah kedua: Setelah mendidih, masukkan susu cair dan kacau. Kemudian, masukkan pula milo dan kacau lagi hingga sebati. Kemudian, bolehlah dipadamkan api dapur tersebut.

Langkah ketiga: Sila tapis adunan agar-agar tersebut sebelum anda tuang ke dalam acuan. Pastikan anda membasahkan acuan dengan air terlebih dahulu sebelum anda menuangkan adunan agar-agar tersebut ke dalam acuan yang telah anda pilih tadi. Itu adalah petua untuk memudahkan agar-agar dikeluarkan dari acuannya apabila sudah keras nanti. Setelah adunan ditapis, tuangkan ke dalam acuan yang telah disediakan dengan berhati-hati supaya tidak tumpah. Sayang ya pembaca jika tertumpah sebab Agar-Agar Milo ini sangat sedap dimakan begitu sahaja. Anak-anak pasti suka.






Taraaaaa. Cantik tak acuan agar-agar Mina?. Ini adalah acuan tradisi warisan nenek Mina tau. Pasti pembaca tertanya-tanya mengapa Mina letak agar-agar ini di dalam tupperware yang berlainan kan. Sebenarnya, agar-agar ini Mina ingin beri kepada kawan-kawan Mina. Memberi makan pada orang yang berpuasa kan dapat pahala. Betul tak pembaca?. Jomlah cuba menu ini. Sangat sedap. InsyaAllah.






Wednesday, July 9, 2014

KARI SEAFOOD REBUNG

Assalamualaikum WBT

Salam Ramadhan Mina ucapkan buat pembaca blog Dari Dapur Mina yang Mina kasihi sekalian. Agak lama juga Mina menyepikan diri dari menulis entri masakan di blog ini. Jika mahu cerita tentang kehilangan sementara Mina, rasanya tiga hari tiga malam pun tidak akan habis ceritanya. Nanti jika ada masa Mina akan selitkan sedikit demi sedikit peristiwa yang telah berlaku disepanjang ketiadaan Mina. Kiranya macam kisah hikayat seribu satu malam jugalah ini. Mesti pembaca sekalian suspen ingin mengetahuinya kan. InsyaAllah, di entri resipi yang lain akan Mina muatkan tau. Jika hendak tahu apa kisahnya, kena rajin-rajin menjenguk blog Dari Dapur Mina ini.

Baiklah pembaca, sempena bulan puasa yang dipenuhi barakah ini pastinya kita semua ingin menyediakan juadah berbuka puasa yang enak-enak dan digemari seisi keluarga. Mina pasti selera berbuka puasa kita sangat berlainan.Ada yang gemar berbuka puasa dengan air dan kurma sahaja. Ada pula yang gemar makan kuih muih, mee, pasta dan roti. Malah ada juga yang suka menikmati juadah berbuka puasa dengan makanan berat seperti nasi bersama lauk pauk. Untuk mukadimah resipi petang ini, Mina ingin berkongsi satu resipi lauk yang tidak kurang enaknya jika dijadikan juadah tambahan bersama lauk pauk yang lain. Menu itu Mina namakan Kari Seafood Rebung. Apa macam?. Gempak tak nama resipi ini?. Jom kita salin resipinya.

Bahan-bahan utama: 1/2 kg sotong, 1/2 kg udang, 1/2 kg rebung utara, 1 ringgit santan, 1 paket rempah kari ikan jenama Babas, minyak masak untuk menumis, sedikit air, serbuk perasa dan garam.

Bahan-bahan kisar: Sedikit halia, sedikit kunyit hidup, 2 ulas bawang putih dan 1 labu bawang besar.

Langkah pertama: Potong rebung utara dengan ukuran panjangnya lebih kurang 2 inci. Kemudian kelar rebung itu tetapi guna kaedah kelaran tidak putus ya. Jangan kelar sampai putus sebab kita bukan hendak buat kerabu ya. Faham ke tidak ni?. Kemudian masukkan rebung tersebut ke dalam periuk dan rebus hingga empuk. Boleh faham?. Setelah rebung itu empuk, maka bolehlah disejatkan airnya. 

Langkah kedua: Bersihkan sotong dan udang mengikut gaya kesukaan anda sendiri. Jika mahu tiru cara Mina, Mina lebih suka sotong itu tidak dipotong kecil. Manakala udang pula Mina hanya gunting ekor dan muncungnya sedikit sahaja. Pastikan dakwat hitam pada sotong yang terletak dibahagian perutnya, dibuang dan dibersihkan terlebih dahulu. Mina tidak mahu kewujudan dakwat hitam pada sotong itu akan mengganggu rasa dan warna masakan ini. 

Langkah ketiga: Satukan bahan kisar bersama rempah kari ikan dan gaul hingga sebati ya Cik Ton. Jangan berangan pula semasa menyalin resipi ini.

Langkah keempat: Panaskan periuk, tuang sedikit minyak  ke dalamnya. Bila minyak sudah panas, sila masukkan bahan kisar yang telah digaul tadi. Tumis rempah hingga garing dan berbau harum subur di hati. Setelah garing, tuangkan sedikit air ke dalam tumisan tersebut. Jangan menumis hingga hangus pula. Pada saat ini, kemahiran mengawal api dapur amat penting ya. Api dapur jangan terlalu besar atau terlalu kecil. Biar yang sedang-sedang sahaja. Kemudian, masukkan santan dan gaul lagi. Masukkan pula sotang, udang dan rebung utara. 






Beginilah rupa masakan Kari Seafood Rebung setelah Mina memasukkan segala bahan-bahannya. Pastikan air yang anda masukkan jangan melebihi bahan-bahan yang ada di dalam periuk tersebut kerana sotong dan udang juga akan menghasilkan jusnya sendiri. Mina bimbang  kuah kari anda akan menjadi cair bair pula.

Last but not least, setelah kuah kari mereneh, masukkan sedikit bahan perasa dan garam sesuka hati anda ya. Bahan perasa jangan letak terlalu banyak. Bimbang akan membantutkan pertumbuhan akar rambut anda. Tak mau lah jika kepala anda botak nanti. Secukup rasa saja sudah memadai tau.






Setelah kuahnya mendidih dan terbit minyak, maka bersegeralah anda mencicipi rasanya. Jika sudah berpuas hati dengan rasa keenakkannya, maka bolehlah ditutupkan api dapur tersebut. Masakan ini sangat sesuai dimakan bersama nasi, pulut atau roti. Makan sehingga menjilat jari tau. InsyaAllah sedap rasanya. Selamat Berbuka Puasa kepada semua!.





Monday, November 19, 2012

SAMBAL TUMIS SOTONG BERSANTAN

Assalamualaikum WBT buat semua pembaca setia blog ini yang sangat Mina kasihi. Apa khabar anda semua?. Sedang  buat apa tu?. Mungkin surirumahtangga di luar sana sedang berhempas pulas mengeluarkan keringat memasak di dapur untuk menyediakan menu tengahari ini. Walau apa saja yang sedang anda lakukan, ingatlah bahawa di blog Dari Dapur Mina tersedia banyak resipi-resipi yang mudah, praktikal dan relevan untuk diikuti.

Dua hari lepas Mina ke pasaraya KIPMART untuk membeli barangan basah. Banyak sungguh barangan basah yang ditawarkan di sana. Harganya agak murah jika dibandingkan dengan pasar yang berdekatan dengan rumah Mina. Mina pun apa lagi, dengan tamak dan penuh berselera terus memborong ikan, udang, ayam, sotong dan daging. Setelah tiba di rumah, Mina terus menyiang semua barang-barang itu dan Mina masukkan ke dalam bekas-bekas mengikut hari untuk penggunaannya. Sebenarnya Mina tidak suka membeli lauk pauk basah seperti ini dalam kuantiti yang banyak kerana rasa kemanisan bahan-bahan mentah itu akan berkurangan jika kita terlalu lama menyimpannya di dalam peti sejuk. Namun apakan daya, nafsu membeli telah mengatasi akal yang waras ketika itu. Sabor aje ler..



Baiklah, pagi ini Mina ingin berkongsi satu resipi istimewa yang Mina bawakan secara langsung Dari Dapur Mina di Pasir Gudang. Apa macam?.Terliur tak melihat resipi Mina kali ini. Resipi ini Mina namakan Sambal Tumis Sotong Bersantan. Teringat Mina zaman semasa Mina tinggal di rumah nenek dahulu. Lebihan santan yang ada akan dimasukkan ke dalam sambal tumis yang nenek masak. Rasa sambal tumis buatan nenek memang sedap dan lazat. Ohhh...barulah Mina tahu rahsianya. Letak santan rupa-rupanya.

Bahan-Bahan: Sotong 1/2kg, santan 50sen, minyak untuk menumis, garam, serbuk perasa dan sedikit gula.

Bahan Kisar: 20 biji lada kering, 1 ulas bawang putih dan 1 labu bawang besar.

Sotong perlu dibersihkan dahulu dan buang hitamnya. Mina tidak menggunakan air asam atau segala bahan yang masam di dalam masakan sambal tumis kerana Mina tidak mahu menghilangkan rasa manis atau asli udang dan sotong ya. Gula yang digunakan hanya satu sudu teh saja. Jangan berlebihan. Untuk mendapatkan sambal tumis yang enak lagi lazat, penggunaan minyak perlu bertepatan. Jangan kurang dan jangan lebih. Ada orang mencampurkan belacan ke dalam setiap sambal tumis yang mereka masak. Mina kurang suka cara ini dan sambal tumis jenis ini cepat menjemukan rasa.

Kaedah Memasak: Panaskan minyak di dalam kuali. Masukkan bahan-bahan kisar. Kacau hingga garing. Masukkan pula sotong yang telah dibersihkan dan gaul rata. Masukkan santan dan gaul lagi. Campakkan gula, garam dan serbuk perasa. Pastikan api pada tahap kepanasan sederhana dan biarkan sambal tumis itu mendidih dan mengeluarkan minyaknya yang lazat seperti gambar di atas. Setelah itu boleh dihidangkan ya. Selamat mencuba, jangan malu dan jangan segan!