Sunday, January 3, 2010

LEMPENG


Siapa suka makan lempeng?. Sebenarnya saya lah hantu lempeng. Biasanya jika ada kuah kari atau gulai semalam, esoknya di pagi hari, pasti akan saya keluarkan tepung dan mengacau adunan untuk dibuat lempeng. Cara untuk membuat lempeng ini amat mudah ya. Ada berbagai-bagai teknik dan cara membuat lempeng. Orang putih panggil lempeng 'Pan Cake'. Saya masih ingat masa saya kecil-kecil dahulu, nenek saya selalu buatkan saya lempeng. Ada bermacam jenis lempeng yang nenek saya buatkan untuk saya seperti lempeng pisang, lempeng kelapa, lempeng manis dan lempeng biasa. Tetapi hari ini saya ingin berkongsi dengan anda semua cara membuat lempeng biasa. Bahan-bahan yang diperlukan ialah tepung gandum, garam, mentega atau marjerin atau minyak dan air. Boleh juga dimasukkan telur jika suka. Tetapi hari ini saya tidak memasukkan telur. Oleh kerana minyak sapi masih ada, saya masukkan minyak sapi ke dalam bancuhan tepung (barter) menggantikan marjerin.



Mula-mula masukkan tepung gandum, garam, marjerin dan air. Kacau adunan tepung hingga sebati. Kecairannya mengikut kecairan membuat lempeng. Maksudnya lebih cair dari adunan jemput-jemput. Selepas adunan sebati, oleskan kuali dengan sedikit mentega atau marjerin atau minyak, kemudian masukkan adunan lempeng itu sesenduk dan oleskan menjadi bulat mengikut seperti gambar di atas.


Bila agak lempeng sudah masak, palingkan ke sebelah seperti gambar di atas.



Biasanya semasa membuat lempeng, saya suka menggunakan 2 kuali supaya lempeng saya cepat siap dan sentiasa garing. Rasa lempeng saya ni ala-ala rasa capati tetapi capati yang menggunakan tepung gandum. Saya menggunakan kuali kum kum untuk membentuk adunan menjadi lempeng. Namun untuk menggaringkan lempeng, saya akan memindahkan lempeng yang sudah boleh di paling itu ke kuali leper lain seperti gambar yang anda saksikan di atas. Jimat masa dan tenaga. Hidangan pun mudah dan cepat disediakan.




Beginilah hasil lempeng Dari Dapur Mina.



Lempeng ini juga sedap jika dicicah dengan sambal tumis ikan bilis atau sambal tumis udang.
Selamat mencuba!. Jangan takut untuk mencuba kerana gagal sekali bukan bermakna gagal untuk selama-lamanya. Alaa...buat lempeng je, bukan buat Kek Sarawak.

21 comments:

  1. Salam Mina..
    Mina ni macam2 la kan.Semua resepi ada.Lempeng pun ada.Memang bukan Mina sorang je yang suka dengan lempeng ni, saya pun.Ingat zaman kecik dulu arwah mak selalu buat lempeng bila nak pergi sekolah.Memang mudah dan cepat.Tapi kat tempat saya selalu lempeng dimakan dengan gula atau susu pekat.Kemasyhuran lempeng ni terserlah apabila ada orang buka restoran lempeng kat tempat saya.Tapi tengok jugak la orang yang buatkan lempeng tu.kalau lempeng Mina buat tu nampak sedap kan.Lapar la pulak tengok blog dapur Mina ni.

    ReplyDelete
  2. Salam Limau Kasturi,

    Lempeng 'Dari Dapur Mina' memang enak lagi menyelerakan. Di zaman moden ini dah jarang surirumah membuat lempeng. Tetapi saya tetap meneruskan tradisi masakan tradisional Malaya. Limau Kasturi pandai buat lempeng?.Kalau tidak tahu, belajarlah cara membuat lempeng 'Dari Dapur Mina'. Terima kasih.

    ReplyDelete
  3. Nampaknya kena panggil chef Mina pulak la kan.

    ReplyDelete
  4. Alahai Limau Kasturi, malu pulak rasa bila digelar Chef. Macam tak layak je rasanya.

    ReplyDelete
  5. Terima kasih kak. Saya tak tahu cara buat lempeng. Hehe.. Tp atas bantuan akak tahulah saya macam mana.

    ReplyDelete
  6. Salam Adik,

    Sama-sama kasih. Sebenarnya cara membuat lempeng ini tidaklah sepayah mana. Mudah saja jika kita tahu teknik untuk membuatnya. Percubaan pertama mungkin tidak berapa menjadi, percubaan kedua pasti akan menjadi dan percubaan ketiga, akak confirm adik dah terlebih expert. Oleh itu jangan malas dan teruskan mencuba ya.

    ReplyDelete
  7. mcm sedap je biase uat x pkai mrjerin nak tryla

    ReplyDelete
  8. sye try wt smalam ok lh
    sdp tpi cech dengn sardin goreng
    ok lh tq

    ReplyDelete
  9. ASSALAMMUALAIKUM kak mina... saya buat lempeng itu empat keping tapi 3 hancur 1 jadi pastu tpg mcm x brape hancur butter bau...

    ReplyDelete
  10. Kalau bancuhan atau barter Lempeng ini dimasukkan sedikit marjerin, insyaAllah, Lempeng anda tidak akan melekat dan tidak terlalu berminyak berbanding jika anda melengserkan minyak di atas kuali. Lempeng Mina ini jenis yang kering ala-ala Capati gitu. Rasanya juga tidak muak.

    ReplyDelete
  11. Hi qaris, untuk mendapat hasil Lempeng yang cantik, sedap dan umph, anda dinasihatkan agar kerap membuatnya. Bak kata orang putih ' Practise Make Perfect'. Walaupun menu ini nampak mudah tetapi ianya juga rumit jika kita tidak biasa mengadun barter dan menggorengnya. Sabor aje lah.

    ReplyDelete
  12. Waalaikummussalam wbt arashi

    Terkejut akak bila membaca tragedi yang berlaku semasa adik membuat Lempeng ni. Akak tidak pasti apa sebenarnya yang berlaku di dalam adunan atau barter Lempeng adik, tetapi akak sedaya upaya cuba membuat post mortem supaya adik boleh membuat analisa apa kesilapan yang telah adik lakukan hinnga begitu tragiknya kesan pembuatan Lempeng adik itu.

    1- Semasa mengadun barter Lempeng, pastikan anda menggunakan tepung gandum dan barter itu tidak terlalu cair ya.

    2- Pastikan kuali yang anda gunakan untuk menggoreng Lempeng itu, dicuci bersih supaya Lempeng tidak melekat di kuali. Lagi elok jika anda menggunakan kuali non-stick. Tetapi di pasaran hari ini, kuali non-stick yang berharga murah ni, kadang-kala melekat juga. Akak hanya menggunakan kuali biasa saja, almaklumlah akak kan dah pro.

    3- Teknik hendak menggoreng Lempeng: Lengserkan sedikit minyak di kuali tetapi jangan sampai minyak bertakung ya. Kalau ada minyak bertakung, keluarkan lebihan minyak itu. Kecilkan sedikit api dapur. Masukkan barter dan biarkan sekejap hingga barter dibawah itu mengeras sedikit, selepas itu dengan menggunakan senduk, ayunkan membentuk bulatan besar sedikit seperti gambar di atas ya. Jika nampak kuali sudah agak kering, barulah oleskan sedikit minyak dengan menggunakan daun pandan di sekelilingnya untuk memudahkan anda memalingkan dan membalik-balikkan Lempeng itu hingga kekuningan ya.

    4- Sebenanrya, mentega dan marjerin ni berbeza ya. Berbeza dari segi rasa dan kecairannya. Marjerin ini agak kering manakala mentega agak berminyak. Jika tidak percaya, cuba anda biarkan mentega dan marjerin di atas meja, pasti mentega akan mencair dan marjerin tetap begitu rupa kejadiannya. Sebab itu akak menggunakan marjerin planta dalam bancuhan barter Lempeng itu kerana akak tidak mahukan Lempeng yang berminyak dan berbau. Dengan menggunakan marjerin Planta, hasil Lempeng anda akan menjadi enak secara semulajadi.

    Setelah akak tilik dan belek masaalah anda ini, akak membuat kesimpulan mungkin kegagalan anda dalam membuat Lempeng ini disebabkan bancuhan barter yang agak cair, masalah kuali yang melekat dan teknik semasa menggoreng Lempeng itu tidak betul.

    Nasihat akak, janganlah adik berputus asa, cubalah lagi dik oi. Ambillah semangat Thomas Edison yang tidak pernah berputus asa didalam percubaan membuat eksperimen lampu mentol walaupun pada permulaannya beliau gagal hingga percubaan beliau mencapai angka ke 1,000 kali dan akhirnya beliau berjaya menemui formula sebenar cara untuk menyalakan lampu mentol.

    Cuba lagi tau!!

    PERINGATAN:

    BARTER ialah adunan atau bancuhan tepung.

    BUTTER ialah mentega yang diperbuat daripada susu atau lepa susu.

    MARJERIN pula terhasil daripada minyak kelapa sawit.

    ReplyDelete
  13. terima kasih kak mina...ari tu kali ke 2 saye buat alhamdulillah jadi juga.....sdp dimakan....

    ReplyDelete
  14. sejak slps tu kalau blh tiap2 ari saye nak buat...

    ReplyDelete
  15. Hi arashi,

    Alhamdulillah, jadi juga akhirnya ya. Sebab tulah akak kata, hendak memasak ini bukannya susah sangat. Yang penting sekali kita harus rajin mencuba. Kali pertama mungkin tidak berapa nak jadi, tetapi pada percubaan seterusnya, insyaAllah masakan kita akan lebih baik dari semalam. Macam orang-orang dulu, mereka sudah dilatih sejak dari anak dara lagi supaya pandai bekerja di dapur. Sebab itulah masakan nenek dan ibu kita sedap walaupun mereka hanya guna teknik 'campak-campak' sahaja. Sebenarnya teknik 'campak-campak' mereka bukan kosong tau. Mereka sudah mahir dengan jenis bahan dan kuantiti bahan-bahan masakan tersebut sebelum mereka mengaplikasikan dalam teknik 'campak-campak' itu. Maksudnya di sini, mereka sudah boleh menganggar bahan-bahan tersebut kerana semuanya sudah tersimpan di dalam minda mereka. Bak kata nenek akak yang tinggal di London 'Practice Makes Perfect'

    ReplyDelete
  16. Hai mina. Saya sahabat baru tgk resepi nak juga mencuba hari ini...Ikan siakap stim halia.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Selamat datang ke blog Dari Dapur Mina. Ikan Siakap Stim Halia memang kegemaran Mina sekeluarga. Nanti bolehlah cuba resipi yang lain pula ya :)

      Delete
  17. tolong jelaskan berapa takaran2nya.. ?? terimakasih.. :)

    ReplyDelete
  18. wah...sedapnye lempeng..blogwalking kt sini..sy sudah jatuh hati dengan blog ini...:)

    ReplyDelete
  19. Salam,, wahh..akak mina.. best la blog ni.. saya org bujang, so, bahan terhad.. ade pape resepi yg org bujang mampu buat x? saya dah lama teringin nk mjamu kawan serumah dgn resepi2 baru..

    ReplyDelete
  20. lempeng bole guna tepung laen x
    ?

    ReplyDelete