Jom Klik!

Wednesday, January 13, 2010

TEMPE DAN TAUHU GORENG CICAH SAMBAL KICAP


Ini adalah makanan kegemaran Mina. Bila sebut tentang tempe, ramai yang tahu, tempe ini adalah makanan kegemaran orang Jawa. Di Johor Bahru, kewujudan tempe memang sudah sebati dan sinonim di kalangan masyarakat setempat. Sekarang ini juga, tempe telah dikomersialkan menjadi makanan ringan seperti kerepek dan tempe goreng ala-ala goreng pisang gitu. Kalau pembaca mahukan bukti, cubalah tinjau ke gerai-gerai yang menjual goreng pisang, pasti anda akan berjumpa dengan tempe yang dipotong nipis dan digoreng dengan bersalutkan adunan tepung (barter) goreng pisang.

Baiklah, hari ini Mina ingin berkongsi dengan penonton bagaimana untuk membuat sambal kicap yang enak lagi melazatkan hingga menjilat jari. Bahan-bahan yang diperlukan di sini ialah tempe, tauhu, cili padi, bawang putih, kicap pekat, gula dan sedikit garam.

Seperti biasa tempe dan tauhu perlu digoreng dengan minyak. Ada berbagai versi cara untuk menggoreng tempe dan tauhu ya. Ada orang suka melumurkan tempe dan tauhu dengan rempah ratus seperti jintan, ketumbar, kunyit serbuk dan garam. Ada juga yang suka menggoreng dengan menggunakan serbuk kunyit dan garam saja. Yang tahap tiga ni lagilah jimat, cuma goreng tempe dan tauhu dengan menggunakan garam saja. Apa-apapun, segalanya terpulanglah pada selera masing-masing. Tepuk dada, tanya selera!!. Yang penting di sini, tempe dan tauhu tersebut perlulah digoreng.


Cara untuk membuat sambal kicap sangat mudah. Cili padi dan bawang putih perlu ditumbuk halus (jika rajin dan ada masa, gorenglah dulu bawang putih dan cili padi dengan menggunakan sedikit minyak. Ini akan menjadikan sambal kicap anda tahan lama dan enak rasanya). Setelah lumat ditumbuk, masukkan gula dan sedikit garam. Tuangkan kicap manis ke dalam batu tumbuk itu dan henyak menggunakan anak batu lesung hinggalah gula hancur. Ada juga sesetengah orang yang memasukkan bawang goreng dan ditumbuk bersama bahan tumbuk tadi. Sambal kicap versi ini juga, tidak kalah dari segi rasa keenakannya.

Biasanya Mina akan membuat sambal kicap ini dalam kuantiti yang banyak kerana Mina akan menyimpannya di dalam peti sejuk. Selain boleh dicicah dengan tempe dan tauhu goreng, sambal kicap juga boleh dicicah dengan jemput-jemput (cucur) ikan bilis, pisang goreng, keledek goreng dan boleh juga dimasukkan ke dalam mee hoon sup atau soto. Ermmm..oleh itu, jika hendak membuat sambal kicap, buatlah dalam kuantiti yang lebih. Baiklah, dengan itu, Mina mohon berundur diri...

P/S: Jangan lupa klik iklan kat atas dan tepi tu tau. TQ


8 comments:

  1. Salam Makcik, yang ini mmg best...makan gitu saja waktu minum petang pon ok.

    ReplyDelete
  2. Salam Syida,

    Memang power syida, makan satu nak tambah dua. Begitulah seterusnya...

    ReplyDelete
  3. mak mentua lalu pun tak perasan..

    ReplyDelete
  4. Salam Nisa,

    Bukan kata mak mertua, atok nenek dan pak mertua lalu pun confirm dah perasan tapi buat2 tak perasan....hehehehe

    ReplyDelete
  5. Mina, kat sesetengah gerai goreng pisang kat KL ni dah mula jual goreng pisang cicah sambal kicap tau tapi rasa nye taklah sekick sambal kicap mina hihiii betul akak cakap.....

    ReplyDelete
  6. Salam Kak SH Mariam,

    Goreng Pisang yang dicicah dengan sambal kicap memanglah terasa kepowerannya kak. Mina memang suka makan pisang goreng. Sejak azali lagi kak. Tapi sekarang ni kan Kak, penjual Goreng Pisang sudah bertambah advance. Mereka telah mencampurkan kacang tanah yang dikisar halus ke dalam Sambal Kicap. Ngam juga rasanya kak. Kiranya, Sambal Kicap sudah menjadi Sambal Kacang atau kita boleh menggelarnya Sambal Kicang (kicap + kacang)..:)

    ReplyDelete
  7. buat terluir je min..ati ni asal org layang2 kluang johor..dh lama merantau tmpt org..payah tul nak jumpa goreng pisang@tempe cicah sambal kicap style johor ni..kat selangor ni x de..diaorg pelik kalau kita mkn goreng pisang cicah sambal kicap.....

    ReplyDelete
  8. Ati, apa susah, beli jer pisang dan tempe basah di pasar, kemudian goreng sendiri di rumah. Sambal Kicap boleh buat sendiri. Memanglah Ati, lain padang lain belalang, lain negeri lain pula masakannya.

    ReplyDelete