Thursday, February 18, 2010

SAMBAL SOTONG KEMBANG



Hari ini 'Dari Dapur Mina' ingin berkongsi resipi Sambal Sotong Kembang. Bahan-bahan yang diperlukan ialah sotong kembang (dibersihkan dan dipotong sesuka hati), cili kering (dikisar), bawang putih (dikisar), bawang merah (dikisar), bawang besar (dihiris bulat), minyak untuk menumis, garam , gula dan serbuk perasa.




Panaskan kuali, tuangkan minyak dan bila minyak sudah panas, tumiskan bahan kisar tadi. Petua untuk memasak sambal tumis yang sedap ialah minyak perlu banyak dan cili kering dan bahan-bahan kisar yang lainnya perlu di tumis hingga garing hinga naik minyak dengan menggunakan api perlahan. Pengawalan api dan suhu kepanasan amat penting. Ada juga sesetengah orang yang suka memasukkan belacan dalam masakan sambal tumis mereka. Ikutlah selera tekak dan kesesuaian masing-masing ya.




Apabila bahan kisar tadi sudah garing dan naik minyak, bolehlah dimasukkan sotong kembang itu tadi. Kacau hingga sotong kembang itu sebati dengan bahan tumis.




Sotong kembang ini mempunyai air yang banyak ya. Oleh itu kecilkan sedikit api biarlah kuahnya agak mengering sedikit. Kacau lagi dan bolehlah dimasukkan garam, gula, perasa dan bawang besar yang telah dihiris bulat. Ada juga sesetengah orang yang memasukkan kacang tanah tumbuk ke dalam masakan Sambal Sotong Kembang ini. Tetapi hari ini Mina tidak memasukkannya kerana rasanya agak muak bila sudah bercampur dengan kacang tanah tumbuk atau kisar.



Apabila kuah Sambal Sotong Kembang itu menjadi pekat, rasalah tahap keenakan yang anda inginkan dan bolehlah dipadamkan api. Beginilah rupa masakan Sambal Sotong Kembang istimewa 'Dari Dapur Mina'. Selamat mencuba!!

6 comments:

  1. salam mina....

    kakak ni baru je lepas makan malam, tapi bila tengok sambal sotong kembang mina perut akak dah mula mengembang-gembang lapar lagi...

    kak timah

    ReplyDelete
  2. Kak Timah,

    Hahaha..tiba-tiba saja hati saya terasa digeletek. Sambal Sotong Kembang ni memang sedap Kak Timah oi. Makan sekali pasti mahu lagi. Apa kata, esok tengahari Kak Timah masakkan lauk ini untuk santapan kanda di rumah, sure hati cik abang mengembang seumpama sotong kembang yang akak masak tu. Thanks.

    ReplyDelete
  3. assalam...sotong itu nak direbus dulu ke..ade org kata rebus dgn air kapur la...saye budak baru belajar harap bantu..TQ

    Liza Jb

    ReplyDelete
  4. W'salam Liza JB,

    Sotong Kembang ni tak payah direndam terlebih dahulu. Cukuplah sekadar memotong dan membasuhnya sebelum dimasak. Cara memasaknya sama seperti memasak sotong biasa. Yang wajib direndam dengan air kapur tu Sotong Kering. Air kapur digunakan untuk melembutkan Sotong Kering. Ada satu lagi bahan yang boleh melembutkan Sotong Kering ialah abu cang. Cuba cari di kedai-kedai runcit pasti ada.

    ReplyDelete
  5. Kak mina., kalau sambal sotong mcm nie., tak payah letak santan 50sen ker utk menambahkan kelazatan ye seperti Sambal Tumis Sotong Bersantan tu..
    pastu mcm nak tau sotong tu benar2x masak & lembut supaya boleh tutup api..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Boleh gunakan santan jika suka dan tidak gunakan santan pun tak apa. Sebenarnya, sotong ini tidak perlu lama sangat untuk memasaknya. Keadaan biologinya sudah sememangnya lembut. Agak-agak kuah sambal dah mendidih dan pekat hingga naik minyak, bolehlah dipadamkan api dapur. Maksudnya apabila kuah sesuatu masakan itu sudah mendidih, sotong pun sudah mengecut dan masak.Memasak makanan laut sangat mudah dan cepat.

      Tetapi lain caranya pula apabila kita memasak ayam dan daging ya. Perlu mengambil masa agak lama sedikit untuk melembutkan daging dan ayam. Kawalan api juga perlu dititik beratkan. Dikhuatiri jika dibiarkan api terlalu besar, daging atau ayam masih tidak empuk tetapi kuah sudah mula mengering.

      Delete