Jom Klik!

Saturday, March 20, 2010

BILA MINA TIADA SELERA!

Assalamualaikum buat pembaca yang budiman. Semalam sehari suntuk Mina di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di PWTC. Alhamdulillah, cuaca redup dan cerah. Tidak hujan. Seronok benar Mina dan anak-anak. Kami bertolak dari Johor Bahru selepas solat subuh. Kira-kira pukul 6.15 pagi dan tiba di PWTC pada pukul 9.30 pagi. Mina menyediakan bekal Sandwich Mentega Kahwin Strawberry. Kami semua makan semasa dalam perjalanan kerana jika berhenti, Mina bimbang akan terlewat dan pengunjung sudah ramai mengunjungi booth-booth buku. Tengahari kami makan di PWTC untuk mengalas perut kerana anak-anak Mina sudah mengeluh kelaparan. Kami menikmati Burger, Hotdog, Nasi Lemak, Nasi goreng, Mee Goreng dan Air.

Selepas keluar dari PWTC, kami semua sepakat untuk singgah di KLCC. Suria KLCC sebenarnya. Di sana anak-anak Mina menikmati Burger dan Ayam Goreng Mc Donald. Mina pula menikmati 2 jenis sup iaitu Penang Kuew Tiaw Sup dan Mee Hoon sup. Sedap u!. Dalam perjalanan balik ke Johor Bahru kami berhenti di kawasan R &R Air Keroh. Di sana kami hanya membeli buah-buahan potong dan membeli 4 kg buah Mempelam Madu untuk dibawa pulang. Akhir sekali kami singgah di kawasan R & R Machap. Kami menikmati makan malam iaitu Mee Hoon Soto, Mee Goreng dan beraneka jenis air.




Baiklah pembaca sekalian, hari ini Mina ingin berkongsi dengan anda semua masakan yang terlalu mudah tetapi mampu mengundang selera kepada sesiapa saja yang perut mereka sedang berkeroncong lapar. Semasa berlegar-legar di pasar, tiba-tiba saja Mina terpandangkan Ikan Selayang segar yang baru tiba dan dipunggah dari lori. Mina lihat ramai pembeli berkerumun di situ. Mina pun apa lagi, turut sama mengerumuni kotak besar yang berisi Ikan Selayang. Gelagat pembeli yang berkerumun di situ seumpama penjual ikan akan memberikan ikan kepada mereka secara percuma saja. Bila Mina perhatikan betul-betul barulah Mina sedar yang mereka berebutkan Ikan Selayang segar. Almaklumlah kan, ikan segar kan sukar didapati di bandar-bandar besar seperti di Bandar Johor Bahru. Lainlah bagi mereka-mereka yang tinggal di persisir pantai. Tiap-tiap hari menikmati ikan segar yang manis lagi melazatkan.

Selepas berjaya membawa 2 kg Ikan Selayang segar pulang ke rumah, Mina pun mereka-rekalah resipi apa yang perlu Mina masak hari itu. Jika di kampung sebelah emak dahulu, ibu saudara Mina gemar benar menggoreng Ikan Selayang ini. Semasa menggoreng ikan ini, aroma keenakannya benar-benar mengundang nafsu lapar kepada sesiapa sahaja yang menghidunya.

Oleh itu, dengan tidak membuang masa. Mina terus menyiang dan membersihkan Ikan Selayang segar itu dan menumbuk kunyit hidup dan garam. Cara memasak sebegini, tiba-tiba mengingatkan Mina kepada suasana memasak di kampung semasa kunyit serbuk belum tercipta. Ternyata masakan cara lama ini lebih sedap dan mempesona pada pandangan Mina.

Apabila kunyit hidup ditumbuk bersama garam lumat bersatu, Mina kaut dari batu tumbuk dan Mina lomorkan pada badan ikan rata-rata hingga Mina berpuashati. Waktu melomor kunyit ke badan ikan, jari-jari tangan kanan Mina semuanya kekuningan. Bukan main lagi Mina, cepat-cepat Mina cuci dengan sabun pencuci.




Kemudian, bolehlah dipanaskan minyak di dalam kuali dan apabila minyak sudah panas, sila masukkan Ikan Selayang itu tadi. Gorenglah dengan kepanasan api dapur yang sederhana.


Semasa menggoreng Ikan Selayang segar ini, aroma keharuman dan keenakannya melayang-layang di awangan masuk ke rumah jiran tetangga Mina. Ada jiran yang siap menjengahkan kepala mereka ke dapur Mina dan menegur "Oi Cik Mina, masak apa tu?. Bukan main wangi lagi baunya". Biasanya apabila mendengar teguran sebegini dari jiran sebelah rumah, selepas siap semua kerja-kerja memasak, yang pastinya sepinggan masakan akan disedekahkan kepada jiran yang terpesona dengan bau masakan Mina. Sesungguhnya tangan yang memberi itu lebih mulia dari tangan yang menerima.

Beginilah hasil gorengan Ikan Selayang 'Dari Dapur Mina'.



Di tungku dapur sebelah lagi, Mina panaskan kuali dengan sedikit minyak masak. Sedikit saja tau!. Lalu Mina menggoreng 3 jenis belacan. Maksudnya, Mina menggoreng belacan itu satu persatu. Jika pembaca perhatikan di situ, ada 3 jenis belacan yang enak lagi meyelerakan. Satu belacan dari Perlis, satu lagi dari Melaka dan lagi satu dari Johor Bahru. Ketiga-tiga belacan itu sedap tetapi Mina lebih menggemari belacan dari Perlis kerana kandungan udang geragaunya lebih banyak serta segar, peroi dan tidak masin. Biasanya Mina akan membakar atau menggoreng 3 jenis belacan yang berlainan supaya apabila hendak menggunakannya nanti, Mina tidak perlu menggoreng atau membakar dan dengan cara ini belacan akan lebih tahan lama.



Cara untuk membuat sambal belacan. Mula-mula ambil lada merah beberapa biji. Jika suka pedas, bolehlah dicampurkan cili padi kampung yang berwarna merah juga. Patahkan sedikit belacan dan mulalah menumbuk. Jika belacan anda jenis yang tidak masin, bolehlah mencampakkan sedikit garam semasa menumbuknya. Tetapi jika belacan sudah sedia masin, tidak perlu masukkan garam lagi.


Tumbuk hingga lumat seperti ini. Ini Sambal Belacan biasa ya.


Ini adalah gambar sambal belacan yang sudah siap ditumbuk dan jika anda suka, bolehlah potong sebiji limau kasturi dan perahkan ke atasnya.


Ini adalah masakan Tumis Air Sayur Bayam. Mudah saja. Caranya ialah siang sayur bayam gunakan tangan dan bersihkan. Hiris bawang putih, bawang merah dan ikan bilis. Panaskan periuk dan masukkan sedikit minyak. Setelah minyak panas, tumiskan bahan rencah tadi sehingga sedikit garing dan tuangkan semangkuk air. Bila kuah sudah mendidih masukkan garam dan serbuk perasa dan bolehlah dimasukkan sayur bayam itu tadi. Kacau perlahan dan bila kuahnya sudah mendidih, rasa tahap kemasinan yang diinginkan dan bolehlah dipadamkan api dapur.


Beginilah hasil lauk masakan Mina sebentar tadi. Memandangkan perut Mina sudah mula berkeroncong, jadi Mina tidak mahu tunggu lagi, Mina makan dulu ya. Jemput makan semua!!

P/S: Jangan lupa klik iklan kat atas dan tepi tu tau. TQ

2 comments:

  1. wah, simple2 pun nampak sedap gak!

    ReplyDelete
  2. Hi linglong,

    Mina juga turut teruja kelaparan bila melihat gambar masakan di atas. Very outstanding!

    ReplyDelete