Thursday, March 18, 2010

KARI REBUNG UDANG

Assalammualaikum buat pembaca setia Blog 'Dari Dapur Mina'. Salam Jumaat Mina ucapkan. Sudah rancang hendak masak apa hari Jumaat nan permai dan syahdu ini?. Jika belum ada idea untuk memasak, jomlah tiru-tiru menu Mina yang akan Mina persembahkan sebentar lagi.

Semalam, satu hari dapur Mina tidak berasap. Almaklumlah, musim-musim cuti sekolah ini, anak-anak Mina mengajak Mina berjalan sakan. Siap buat aturcara perjalanan dan minit mesyuarat lagi. Berapa budget wang yang diperlukan, berapa hari, jenis perjalanan dan barang-barang apa yang hendak dibeli. Setelah Mina and Family bermesyuarat, keputusan sebulat suara pun dicapai. Kami semua bersetuju membuat perjalanan yang berkonsepkan 'Jalan-Jalan, Cari makan, Cari Barang, Cari Masjid'. Kami peruntukkan masa selama 12 jam. Bermula dari pukul 9 pagi hingga 9 malam.

Di sini Mina akan ceritakan acara makan-makan yang telah berlangsung semalam. Pagi-pagi pukul 9 pagi, Mina sekeluarga bersarapan Roti Canai di Gerai Pak Din. Roti Canai pak Din memang power di Pasir Gudang. Mina suka sangat. Pukul 12 tengahari Mina sekeluarga makan tengahari di MC Donald di Plaza Angsana. Pukul 3 petang Mina sekeluarga minum petang di kopitiam (Gerai Keretapi Kluang) di Plaza Kotaraya. Anak-anak Mina telah membeli setengah dozen Donut J.CO yang lembut dan berkrim untuk dikunyah dalam kereta. Kira-kira pukul 8 malam, kami semua menikmati makan malam masakan seafood di Stulang Laut. Seronok sangat. Pukul 9.30 malam, kami sekeluarga telah selamat sampai ke rumah dan membelek barang-barang yang telah kami shopping di tempat-tempat yang telah kami singgah. Memang berbaloi. Dan esok hari Sabtu, Mina sekeluarga akan ke Pesta Buku Antarabangsa di PWTC. Panjang pula entri Mina kali ini.




Baiklah kawan-kawan, penat dah Mina bercerita. Jom kita sama-sama masak. Bahan-bahan yang diperlukan untuk memasak kari Rebung Udang ini ialah rebung Thailand. Rebung ini banyak terdapat di negeri Utara. Tetapi sekarang ini, rebung ini mudah juga didapati di pasar-pasar. Rebung ini perlu di potong dan diracik-racik tidak putus seperti gambar di atas. Kemudian, rebung ini perlu direbus hingga empuk dan ditoskan airnya. Udang, santan. Bahan kisar -> kunyit, sedikit halia, bawang putih, bawang merah. Rempah kari udang, garam, serbuk perasa dan minyak untuk menumis.




Tenggek periuk. Tuangkan minyak. Setelah minyak panas, tuangkan bahan kisar dan rempah kari udang.




Gaul hingga bahan tadi naik minyak seperti gambar di atas.



Bila rencah sudah agak garing dan berbau harum, masukkan sedikit air dan santan. Ingat ya!!. Apabila masak masakan yang berkuah seperti ini, kuahnya jangan terlalu berladung. Mesti rap-rap atau separas dengan bahan utama yang akan dimasukkan sebentar nanti. Oleh itu, masukkan air sedikit dahulu, jika setelah memasukkan bahan utama, kuahnya masih cetek, bolehlah kawan-kawan tambahkan sedikit air lagi hingga sama paras dengan bahan utama.



Sekaran, Mina akan memasukkan rebung dan udang. Udang itu perlu dibersihkan dan dikerat sedikit kepala dan ekornya.



Sekarang, bolehlah dimasukkan garam, perasa dan kacau lagi.




Rasa tahap kemasinan yang anda inginkan. Apabila sudah mendidih dan naik minyak, bolehlah dipadamkan api dapur.




Beginilah rupa Kari Rebung Udang yang telah Mina padamkan api dapurnya. Ini adalah menu masakan popular di sebelah Utara. Suami Mina kan berasal dari Perlis. Orang sana memang gemar memakan masakan Kari ini. Tetapi di sana mereka menggelar masakan ini dengan panggilan Gulai Rebung. Kalau di JB masakan Gulai lebih sinonim dengan Asam Pedas. Ermmm...lain padang, sudah tentu lain belalang.



Beginilah hasil masakan Kari Rebung Udang. Jika di utara , mereka akan bubuh sedikit kerisik bagi menyedapkan masakan ini. Tetapi hari ini, Mina tidak memasukkannya. Jemputlah menjamu selera. Mina sudah tidak sabar ingin menikmatinya bersama nasi panas. Jemput makan kawan-kawan!!


4 comments:

  1. salam k.mina..g pwtc hari sabtu ek..na pun...na sampai ctu dlm pkul 1..akak bli buku ape...akak mmg cintakan buku ye...dr johor ke kl..xramai yg mcm ni...

    ReplyDelete
  2. Salam Na,

    Lama tak dengar berita. Kemana gerangan Na menghilang?. Akak ke PWTC hari Sabtu. Dari JB pukul 6.15 pagi dan sampai JB semula pukul 9.30 malam. Lenguh juga kaki berjalan. Bila dah sampai rumah baru terasa. Pengunjung di sana sudah tentulah ramai. Bersesak-sesak. Anak-anak akak masing-masing sudah mula mengeluh dan merungut, namun mereka semua tetap mengikut akak ke mana-mana. Akak keluar dari PWTC kira-kira pukul 2 petang. Waktu itu, pengunjung sudah semakin ramai. Rasa lemas dan rimas tetapi kami semua seronok sangat kerana dapat memeriahkan sambutan PBAKL 2010.

    ReplyDelete
  3. hehe..busy dhn study (kononnye la)..haha..la...tah2 ada kita berselisih bahu aritu..tp tersangat la ramainye manusia...xpela..jumpa di alam maya jer...

    ReplyDelete
  4. sedapnya..ada idia nak masak hari ni...

    ReplyDelete