Wednesday, March 24, 2010

NASI JAGUNG

Selamat pagi semuanya. Apa khabar?. Sudah bersarapan?. Sarapan apa agaknya pagi ini?. Kepada para surirumah yang sedang duduk di dalam rumah tu, sudah siap mencuci kain baju?. Ampaian sudah penuh dengan kain baju cucian?. Alamak...Mina terlupa hendak menyidai kain di jemuran. Mina ni memanglah....selalu macam ni. Sekejap ya, Mina hendak pergi ke balkoni belakang untuk menyidai kain. Nampaknya cuaca sungguh cerah pagi ini. Jangan pergi kemana-mana ya. Tetaplah di tempat duduk anda sekarang kerana Mina pergi tidak lama. Hanya 5 minit sahaja.

Baiklah, mari kita sambung tentang menu masakan kita untuk hari ini. Seperti yang telah Mina janjikan tempohari, Mina hendak berkongsi dengan anda semua resipi masakan kenduri aqiqah anak saudara Mina, iaitu Nasi Jagung. Resipi lauk-pauknya pula akan menyusul selepas ini. Diharap anda-anda semua hendaklah berbanyak-banyak bersabar. Jangan gelojoh ya. Kerana tidak akan lari gunung yang dikejar tetapi gunung yang selalu ditarah pasti akal gondol akhirnya. Berbeza pula dengan ilmu pengetahuan, ilmu yang banyak jika selalu dicurahkan kepada orang lain, akan menjadikan ilmu itu berkesan dan bermanfaat di minda fikiran kita. Seumpama pisau yang sentiasa diasah, ia akan sentiasa tajam dan berguna kepada pemiliknya.

Mina tidak ingin berceloteh atau bertakzirah di pagi-pagi hari ini. Mina hendak anda semua baca betul-betul dan menghayati akan resipi yang akan Mina tumpahkan kepada anda semua sebentar nanti. Watch out!!



Bahan-bahan lazim yang diperlukan untuk memasak Nasi Jagung ialah beras basmathi, jagung paket, minyak jagung, susu cair, gula batu, kiub ayam, daun sup, mentega , air, serbuk perasa, garam, bawang merah mayang. Rempah tumis-> kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih dan buah pelaga. Bahan kisar -> halia, bawang putih dan bawang merah.

Pertama sekali beras basmathi perlu disukat. Di sini Abang Kassim mengajar Mina cara menyukat air beras yang betul. Beras perlu dimasukkan ke dalam besen. Nampak tak besen biru di atas?. Jika anda perhatikan betul-betul, kuantiti beras basmathi itu tidak penuh satu besen biru itu. Oleh itu, sukatan air yang diperlukan untuk menanak beras basmathi ini ialah ambil lagi satu besen yang sama besarnya dan penuhkan air sehabis penuh satu besen itu. Maksudnya di sini, Abang Kassim menggunakan 2 besen yang sama saiz. Satu besen untuk memasukkan beras dan satu besen lagi untuk memasukkan air tetapi kuantiti air mesti melebihi ukuran paras beras. Ada faham??. Sebenarnya Mina terlupa untuk menangkap gambar satu besen yang dimuatkan dengan air. Kata Abang Kassim lagi, fungsi airlah yang akan melembutkan beras basmathi ini. Cairan lain seperti susu tidak akan mempengaruhi kelembutan nasi atau menjadikan nasi yang akan kita masak itu lembik. Mina rasa, ada logiknya juga di sini. Ini merupakan teknik memasak nasi ya.




Beras basmathi yang sudah dituang ke dalam besen ini, tidak perlu dikosek ya. Mina ulang sekali lagi. Tidak perlu dikosek!. Kerana aktiviti mengosek ini akan menyebabkan fizikal beras itu patah. Nanti apabila sudah masak, nasi tidak menjadi panjang-panjang kerana ia sudah patah disebabkan oleh aktiviti mengosek itu. Beras basmathi perlu direndam sebentar sahaja.

Di sini ada lagi tip dari tukang masak. Sewaktu merendam beras basmathi itu, kita boleh melihat kandungan kanji yang terdapat dalam sesuatu beras itu. Jika warna rendaman air beras itu keruh, itu menunjukkan yang beras basmathi itu mengandungi kandungan kanji yang tinggi, oleh itu kita bolehlah mengurangkan sedikit sahaja kuantiti air yang telah kita sukat. Tetapi kuantiti air masih melebihi paras beras ya. Kurangkan sedikit saja. Tetapi semasa merendam beras basmathi tempohari, jika anda lihat gambar di atas. Air rendaman beras tersebut jernih sahaja. Oleh itu sukatan air yang digunakan wajib menggunakan cara sukatan yang pertama tadi. Maksudnya di sini, beras basmathi yang digunakan dari jenis yang kurang kanji dan risiko untuk nasi menjadi lembik adalah kurang. Di sini Mina tidak menyentuh tentang nasi yang akan menjadi mentah kerana cara sukatan air itu sudah benar-benar cukup untuk menjadikan beras itu masak dengan sempurna dan memang tidak diragukan lagi. Insyaallah.

Teknik ini boleh juga anda aplikasikan dalam kerja-kerja memasak nasi seharian di rumah ya. Almaklumlah kita ni kan selalu bertukar-tukar jenis beras. Boleh dikatakan hampir setiap bulan Mina menukar jenis beras yang Mina makan. Formulanya di sini, jika semasa mengosek beras, warna air beras itu keruh, perlulah anda mengurangkan air semasa memasaknya dan begitulah sebaliknya.




Selepas kerja-kerja meyukat beras dan air selesai, bolehlah ditenggekkan periuk dan setelah periuk itu panas, masukkan minyak jagung. Kalau ada minyak sapi, bolehlah memasukkannya sedikit. Ini menjadikan masakan Nasi Jagung anda bertambah lazat.



Apabila minyak jagung sudah panas. masukkan bawang merah mayang. Kacau hingga garing.



Masukkan pula rempah tumis seperti kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih dan buah pelaga. Sebenarnya gambar yang Mina letak ni terbalik ya. Gambar ini sepatutnya di atas, manakala gambar di atas pula tempatnya di sini. Hendak susun gambar semula, susah uuu....




Selepas semuanya agak garing, masukkan pula bahan kisar seperti halia, bawang putih, bawang merah. Masukkan juga kiub ayam yang telah diramas dan serbuk perasa. Ini mengikut step atau langkah Abang Kassim lah. Kalau ikut cara Mina, Mina akan lebur semua. Apa nak susah-susah memasak. Campak dan baling aja lah.




Kemudian, masukkan air yang telah disukat tadi, susu cair (kuantiti susu bergantung kepada budget dan rasa lemak yang anda inginkan), gula batu (sedikit saja), garam. Tunggu sehingga air mendidih dan gula batu melarut.



Selepas mendidih, masukkanlah jagung paket. Kata hendak masak Nasi Jagung, tentulah ada sang jagungnya. Tunggu hingga jagung itu empuk sebentar.



Jika anda perhatikan betul-betul, cairan yang berwarna oren itu adalah sunquick oren. Jika suka, anda boleh memasukkannya sedikit. Jika tidak suka pun tidak mengapa. Tidak menjejaskan rasa Nasi Jagung ini pun. Tunggu hingga air mendidih dan rasa tahap kemasinan yang anda inginkan. Jangan pula terlalu masin kerana Nasi Jagung ini akan dimakan dengan 3 jenis lauk lain yang sememangnya sudah masin.



Bila air sudah mendidih, sila masukkan beras basmathi. Sementara menunggu air ini mendidih, Abang Kassim telah mengetoskan beras menggunakan besen penapis. Kacau beras perlahan sahaja dan tutup periuk nasi itu menggunakan penutupnya. Diwaktu ini, kawalan api sangat penting ya. Pada permulaan memasak, menggunakan nyalaan api yang biasa dan apabila air sudah mulai hendak mengering, nyalaan api perlu dikecilkan.




Gambar di atas menujukkan air nasi yang sudah mula mengering dan api dapur sudah dikecilkan.


Kemudian, bolehlah dimasukkan ketulan mentega dan daun sup yang telah dipotong. Nasi tidak perlu dikais. Biarkan saja mentega mencair sendiri dan daun sup layu terkena wap nasi. Tutup kembali tudung periuk itu. Sewaktu hendak menutup periuk nasi ini, Abang Kassim selaku Tukang Masak Profesional telah meletakkan surat khabar lama di sekeliling periuk nasi tersebut. Boleh juga jika hendak meletakkan tuala good morning atau kain lampin lama anak ( kain lampin anak?...itupun jika kain lampin tu belum digunakan lah). Tetapi yang pastinya di sini, si tukang masak memilih untuk menggunakan surat khabar lama bagi mengelakkan wap nasi terkeluar dan nasi di bahagian atas masak dengan sempurna. Pastikan ya, api dapur sudah dikecilkan sekecil yang boleh.






Selepas beberapa minit berlalu, bolehlah kita membuka tudung periuk tersebut dan mula mengais. Mengais Nasi Jagung ini juga memerlukan teknik yang betul ya. Caranya ialah, batang pengais itu perlu di cucuk dari tepi periuk dan kais nasi di bahagian bawah naikkan ke atas secara berhati-hati dan perlahan. Jika anda perhatikan betul-betul dari mula, hanya 2 kali saja tukang masak mengacau Nasi Jagung ini. Pertama, semasa baru memasukkan beras ke dalam periuk yang mengandungi air yang mendidih dan kedua, semasa nasi sudah benar-benar masak.



Tudung semula periuk nasi sebentar dan apabila dibuka semula, beginilah hasilnya Nasi Jagung yang sedia untuk disantap.


Apa macam?. Jadi tak?. Cantik tak nasi tu?. Untuk pengetahuan semua, jenis beras basmathi yang digunakan ini adalah dari jenis biasa dan paling murah tetapi hasilnya tetap tidak mengecewakan kerana Nasi Jagung ini kelihatan seperti menggunakan beras basmathi yang berjenama mahal dan ada kelass. Ermmm.....semuanya bergantung kepada kepandaian si tukang masak untuk menjadikan Nasi Jagung yang cantik ini . Sudah tentu dengan izin Allah SWT . Wallahualam....


6 comments:

  1. hmm..ada x resipi y lagi simple??

    ReplyDelete
  2. Salam,

    Resipi yang paling simple tu apa?. Masak nasi putih letak daun pandan jer kot..hehehe. Jangan marah, Mina hanya bergurau. Nanti cuba anda beri nama resipi simple itu ya. Terima kasih.

    ReplyDelete
  3. Terima kasih kerana sudi berkongsi resepi. Nasi jagung ni sedap dimakan dengan lauk apa ye?

    ~Kak Long~

    ReplyDelete
  4. Salam Kak Long,

    Nasi Jagung ini sedap dimakan dengan Ayam Masak Merah, Dalca Daging dan Pencuk @ Acar Darat. Pasti makan hingga menjilat jari. Umphhhhh!!!

    ReplyDelete
  5. Terima kasih kerana berkongsi resepi nasi jagung di atas nmpk mmg sedap dan menarik. Kalau pakai beras biasa caraye juga sama ke. Saya pernah mencuba cara ini dan beras yg saya gunakan nmpk keruh jadi saya kurangkan airye..jadi tetap jadi nasi nmpk berderai tp rasa agak lembik. Kalau nk jadikan nasi berderai mcm dlm rice cooker mcm mn ye.

    ~ Azizah bangi~

    ReplyDelete
    Replies
    1. Jika mahukan hasil nasi yang cantik, berderai dan tidak keras atau lembik, saya nasihatkan anda jangan menggunakan beras lain. Gunalah beras Basmathi kerana selain beras Basmathi,beras lain mempunyai kandungan kanji agak tinggi dan ini berisiko untuk menjadikan nasi anda lembik jika terlebih air dan patah-patah fizikalnya.

      Sukatan air dan beras nisbahnya 1:1

      Susu tidak dikira sebagai air. Hasilnya nanti, nasi anda akan nampak cantik, tidak patah dan berderai. Cara menggaul nasi juga ada tekniknya supaya beras tidak patah. Setelah nasi masak, benamkan senduk nasi yang berfizikal leper atau tegak dari tepi periuk dan kais nasi naik ke atas. Dengan cara ini, anda hanya menyentuh nasi dibahagian tepi sahaja tanpa menyentuh nasi yang dibahagian tengah.

      Jika tidak mahu nasi berketul-ketul, sebelum nasi benar-benar sejuk, kuis nasi itu secara perlahan dan pastikan anda tidak terus menghangatkan nasi yang telah dimasak itu dengan menggunakan rice cooker kerana dikhuatiri nasi yang telah bercerai itu rujuk kembali dan saling berkasih kasihan dan melekap diantara satu sama lain. Wallahualam

      Delete