Wednesday, June 16, 2010

CUCUR PISANG

Selamat pagi kepada semua pembaca yang budiman. Sedang buat apa tu?. Sudah bersarapan?. Sarapan apa?. Haaa....kalau masih bingung untuk menyediakan sarapan pagi atau minum petang, di sini Mina ingin berkongsi dengan pembaca sekalian resipi turun temurun datuk nenek Mina iaitu Cucur Pisang. Seperti yang pernah Mina war-warkan sebelum ini, Mina kan sememangnya suka dengan semua resipi yang berkaitan dengan pisang. Tidak kiralah apa jenis pisang pun samada pisang raja, pisang montel, pisang nipah, pisang berangan, pisang tanduk, pisang 40 hari, pisang awak dan banyak lagi nama-nama pisang yang eksklusif yang tidak Mina sebutkan di sini. Kalau Mina sebutkan semua nama pisang sudah jadi macam buku indeks nama-nama pisang pula, hehe.

Baiklah pembaca sekalian, mari kita terus menyalin resipi Cucur Pisang ini dengan segera kerana sebentar lagi Mina akan ke rumah emak Mina untuk bersama-sama dengan beliau mengadun 10 biji Kek Marble untuk dihadiahkan kepada kawan baik Mina yang akan melangsungkan kenduri kahwinnya pada hari Sabtu ini.

Masakan Cucur Pisang ini mudah dibuat tetapi zaman sekarang ramai diantara kita yang sudah malas dan mulai melupakannya. Kasihanlah kepada anak-anak kita yang tidak pernah merasai keenakan rasa Cucur Pisang yang sedap ini. Jom kita ke dapur Mina!!




Bahan-bahan lazim yang diperlukan untuk membuat Cucur Pisang adalah pisang ( Mina menggunakan pisang berangan, jangan anda pula yang berangan ya), tepung gandum, gula pasir, telur (jika suka), secubit garam dan minyak untuk menggoreng.




Pertama sekali, kupas kulit pisang berangan. Tahu bagaimana cara mengupas kulit pisang?. Kalau pembaca tidak tahu, sila belajar dengan sang monyet, Mina tiada masa hendak mengajar. Kemudian, masukkan ke dalam loyang dan masukkan sedikit gula. Agak-agak lah ya, kalau pisang berangan itu sudah sedia manis, tidak perlu memasukkan gula dalam kuantiti yang banyak. Bersederhana itu lebih baik ya. Kemudian masukkan secubit garam untuk melemakkannya. Dengan menggunakan pelenyek pisang, mulalah melenyek pisang itu hingga hancur.



Jika di rumah pembaca tiada pelenyek pisang, pembaca boleh juga menggunakan bontot gelas dan mulalah melenyek ya. Bontot kuali dilarang keras ya!. Jangan cuba-cuba hendak memandai-mandai ya.




Setelah pisang berangan itu hancur dilenyek, bolehlah dimasukkan sebiji telur dan sedikit tepung ya.




Kemudian kacau rata dan jangan sampai terkurang atau terlebih tepung. Ibarat kata pepatah nenek Mina yang menetap di London, just nice. Ada faham?.



Setelah sebati adunan ini, biarkanlah sebentar, 10 minit ke. Pesan nenek Mina, biar adunan ini bermesra dan bercengkarama dahulu sebelum kita seksa dia ke dalam minyak panas. Kedengarannya begitu zalim kita ini ya. Ermmm...ni yang Mina seram hendak makan ni.




Panaskan kuali dan masukkan minyak masak secukupnya. Untuk pengetahuan semua, untuk menggoreng Cucur Pisang ini memang memerlukan minyak yang banyak ya. Kemudian dengan menggunakan hujung jari anda, jemput sedikit adunan tepung tadi dan lepaskan ke dalam minyak yang telah panas dengan berhati-hati ya. Jangan sampai jari anda yang cantik itu terendam atau tercebur ke dalam minyak panas yang sedang menggelegak itu. Jemput, lepas, jemput, lepas hinggalah penuh membulat di dalam kuali seperti gambar di atas.




Setelah siap semuanya, biarkan sebentar dan palingkan Cucur Pisang itu dengan berhati-hati. Jika Cucur Pisang anda melekat di kuali, itu tandanya anda terlebih gula atau terkurang tepung. Sebab itu Mina sudah pesan, bersederhanalah dalam memasukkan bahan-bahan ke dalam adunan Cucur Pisang.




Tahap kepanasan api juga perlu diambil kira ya. Api dapur tidak boleh terlalu besar dan terlalu kecil.



Beginilah rupanya Cucur Pisang yang telah Mina siapkan untuk sarapan pagi tadi. Apa macam?. Berselera tak?. Kalau pembaca hendak rasa, ambillah sebiji. Selamat mencuba!!


13 comments:

  1. Terima kasih Kak Mina di atas informasi yang diberikan... Dapat jugaklah keinginan saya masak cucur pisang untuk ibu saya tercapai =)

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah Al Nadzirul Mubin. Semoga ibu akan suka akan rasa kenikmatan Cucur Pisang buatan air tangan anaknya sendiri dan semestinya ibu akan bertambah sayang pada anda. Ameen.

    ReplyDelete
  3. arghhhhhh...knp yek sy buat jd kuih bom? T_T. suami mkn 2 biji je..sedih pnt bangun2 awl pg. sy letak baking powder n soda bikarbonat. xtau la ikut resepi mn. huhu

    ReplyDelete
  4. Alahai, kasihannya dia. Siapa suruh anda letak Baking Powder dan Soda Bikarbonat dalam bancuhan Cucur Pisang ni?. Ermmm....biasanya orang yang berniaga saja yang akan meletakkan bahan-bahan macam tu untuk memuaikan dan menampakkan kebesaran produk Cucur Pisang yang mereka jual untuk mudah mereka meletakkan harga demi meraih keuntungan tanpa disoalsiasat oleh pembeli. Lagipun dengan menggunakan cara ini, mereka dapat mengurangkan jumlah kuantiti pisang yang hendak digunakan. Oleh itu, mereka boleh menghasilkan Cucur Pisang yang banyak dan bersaiz penumbuk.

    Sebagai seorang isteri, pastinya kita hendak menghasilkan masakan yang terbaik buat suami tercinta, oleh itu memang tidak perlu kita mencampurkan segala benda yang tidak relevan seperti itu kedalam masakan tradisional kita. Kalau hendak buat kek atau apam lain lah. Bahan-bahan seperti itu memang tersangat perlu. Cucur Pisang yang asli lagi sedap rasanya kaya dengan rasa pisang, garing diluar dan lembut didalam. Pendek kata, macam Cucur Pisang yang telah Mina ajarkan di atas ni. Kalau anda mahukan rasanya yang lagi sedap, masukkan 2 sudu planta atau marjerin ke dalam bancuhan itu. Gerenti sedap!

    ReplyDelete
  5. hihi....terima kasih kak mina. lps ni nk cuba lg ^_^Y

    ReplyDelete
  6. Sila cuba dik..jangan serik untuk mencuba :)

    ReplyDelete
  7. salam. kak mina. sy da cuba wat cucur pisang mcm kak mina ajar tu. alhamdulillah menjadi. cumenye xjd bulat2 la. sbb sy xpndi nk bulatkan. jd cam wat jemput2 biase. tp xpe yg penting rsnye dah ok. terima kasih atas tunjuk ajar diberikan . ;-)

    ReplyDelete
  8. Alhamdulillah dik, sejuk hati akak bila mendengar pembaca yang mencuba resipi-resipi di blog ini semuanya menjadi. Itulah yang akak harapkan semasa membina blog masakan ini. Sesungguhnya memasak itu sangat mudah. Nanti adik boleh cuba resipi-resipi yang lain pula ya.Terima kasih juga untuk adik di sana. :))

    ReplyDelete
  9. hehehe,salam untie mina, alhamdulillah menjadi laa walaupun nampak x sesedap yang auntie buat, boleh jgk sekurang2 nye bagi ummi rase msakan hasil tgn sndiri :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumussalam WBT

      Alhamdulillah, jadi juga masakan Cucur Pisang hasil air tangan adik. Jika hendak sedap dan lembut lagi, adik boleh campurkan secubit serbuk Bicarbonate of Soda ke dalam setiap cucur yang ingin adik buat. Cubalah!

      Delete
  10. salam aunti..hehe,,nmpk sedap la cucur pisang yg aunti buat..sye tgh fkir nak buat kuih ape utk mnum ptg ne, last2 nmpk jga la cucur yg aunti buat ne,nak try lar,,, hrap2 la mnjadi n fmily sye suke,,,hehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumussalam adik di sana

      Untuk percubaan pertama, semasa adik hendak menggoreng cucur pisang ini, pastikan adik menggorengnya dalam kuantiti yang sedikit. Contohnya goreng dalam 5 biji dahulu kerana jika adik masukkan kuantiti secara berlebihan, dikhuatiri cucur pisang yang adik goreng itu akan melekat diantara satu sama lain. Cara yang aunti tunjukkan di atas adalah cara orang yang dah biasa membuat cucur pisang. Ingat tau!

      Delete
  11. hehe memg nmpk sedap menyelerakn..tq k mina

    ReplyDelete