Monday, August 30, 2010

ASAM PEDAS CILI HIDUP IKAN CENCARU

Selamat malam semuanya. Sedang buat apa tu?. Baru balik dari solat tarawih ke?. Sebenarnya, Mina baru balik dari masjid kerana bersolat tarawih di sana secara berjemaah. Seronok ya pembaca sekalian, sesekali dapat beramai-ramai memeriahkan masjid dengan solat tarawih secara berjemaah ini. Kekusyukan dalam solat juga rasanya mencapai tahap peratus tertinggi kerana berimamkan para tahfiz yang suara mereka, masyaAllah sungguh merdu apabila mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran. Hati merintih sayu, jiwa terasa damai dan diri terasa kerdil apabila berhadapan dengan Allah SWT.

Tiba-tiba saja Mina memberi tazkirah singkat kepada anda. Tidak mengapa pembaca, yang penting sekali, ilmu itu semestinya untuk dikongsi ya. Baiklah hari ini Mina ingin berkongsi dengan pembaca tentang satu resipi yang sangat ringkas tetapi berbaloi jika memasaknya kerana rasanya yang enak, lazat dan mendebarkan. Jom kita perhatikan bahan-bahan yang diperlukan untuk memasak resipi ini. Layannnn!!





Ikan cencaru ( boleh digunakan ikan lain), tomato, daun kesum, asam keping ( air asam jawa juga boleh digunakan), garam, perasa, minyak untuk menumis, bahan kisar ---> kunyit hidup, bawang putih, bawang merah dan cili hidup.




Panaskan minyak ke dalam periuk. Masukkan minyak. Tumiskan bahan kisar hingga garing.




Garing macam gambar di atas ya. Bukan garing macam kita goreng keropok. Itu kategori garing yang berbeza. Kalau anda tidak percaya, boleh rujuk Kamus Dewan Bahasa & Pustaka Edisi Ketiga.





Setelah bahan tumis garing dan naik bau, sila tuangkan sedikit air dan masukkan ikan, daun kesum dan asam keping. Gaul sebentar dan jika kurang air, bolehlah ditambah sedikit air lagi.




Biarkan sebentar dan apabila kuah menggelegak, bolehlah dimasukkan tomato yang telah dibelah dua, garam dan perasa,



Biarkan kuah mendidih lagi dan rasalah tahap kemasinan yang diingini. Jika sudah berpuashati dengan rasa keenakannya, silalah padamkan api dapur ya. Jangan terlalu lama kerana Mina bimbang isi ikan cencaru itu akan hancur berkecai.




Beginilah rupa paras Asam Pedas Cili Hidup Ikan Cencaru. Masakan ini enak dimakan bersama nasi panas. Ibu mertua lalu pun sure Mina tidak sedar. Oklah pembaca sekalian, nampaknya mata Mina sudah benar-benar tidak boleh celik. Mengantuk benar Mina. Serasa mahu landing di hadapan laptop ini saja. Selamat mencuba!!


2 comments:

  1. Tahniah Mina,blog anda sangat menarik.Gambar-gambar masakan anda juga nampak hidup dan segar.Semoga perkongsian ilmu ini akan memberi banyak manfaat kepada anda dan tetamu blog ini.Terima kasih atas resepi-resepi yang nampak sedap dan mudah disediakan.

    ReplyDelete
  2. Bagus bila ada gambar sekali. Senang nak rujuk. Terima kasih puan mina. Jenuh saya carik resepi ni. Tp malangnya daun kesum saya takdak. Makanya redha je la kot.

    ReplyDelete