Tuesday, August 31, 2010

KETUPAT PALAS

Assalamualaikum kepada empunya diri yang bertanya tentang resipi Ketupat Palas ini ya. Memandangkan hari raya bakal menjelang tiba, ditambah pula ada yang menanyakan resipi ini, jadi Mina pun tidak ingin bertangguh lagi ya. Mari kita sama-sama melihat bahan-bahan yang diperlukan untuk memasak ketupat Palas ini.

Kuantiti untuk 20 biji Ketupat Palas ( mungkin ada lebih beberapa biji bergantung pada saiz daun palas)

Bahan-bahannya :

Daun Palas, 1 kg pulut, RM 2 santan, sehelai daun pandan, garam dan air.


Caranya :

Pulut perlu dikosek dan ditoskan. Setelah pulut ditos, masukkan pulut ke dalam periuk dan tuangkan santan. Kemudian masukkan garam dan daun pandan. Kacau sebentar untuk memastikan semua bahan bergaul rata. Paras santan tadi perlu rap-rap dengan paras pulut. Jika kuantiti santan tadi masih kurang dari paras pulut, sila masukkan sedikit air ya.

Selepas itu, sila hidupkan api dapur dan tenggekkan periuk itu ke atas api. Api biarlah sederhana saja dan kacau pulut itu selalu kerana Mina tidak mahu pulut itu menjadi kerak. Membazir nanti ya pembaca. Setelah pulut dan santan itu bersatu dan pulut juga sudah mengering, sila kecilkan api sedikit. Pembaca usah risau jika melihat keadaan pulut itu jelantah ya. Sebenarnya memang begitulah rupa kejadiannya kerana setelah pulut itu dibalut, kita akan merebusnnya lagi seperti kita merebus ketupat nasi. Oleh itu anda jangan bimbang jika pulut itu akan menjadi jelantah atau tidak masak.

Sebenarnya proses pertama tadi adalah untuk memesrakan pulut, santan, garam, daun pandan dan air supaya menjadi satu sebelum dibalut dengan daun palas.

Baiklah, kita sambung lagi. Setelah pulut itu mengering dan sebati, bolehlah dipadamkan api dapur. Sejukkan sebentar kerana kita akan menggunakan tangan untuk memasukkan pulut ke dalam balutan daun palas.

Sementara itu, semasa menunggu pulut itu sejuk sedikit, anda bolehlah menyediakan daun palasnya. Membuka daun palas ini juga ada caranya ya, bukan main semberono saja. Untuk memisahkan daun palas ini, anda perlu mengirai-ngirainya terlebih dahulu dan selepas itu pisah dan tarik daun palas itu. Kemudian gunting sedikit di bahagian hujung daun palas itu supaya ianya nampak rata dan cantik. Akhir sekali bukalah lipatan daun palas itu untuk melembutkan dan raut lurus dengan menggunakan tangan. Lipat balutan daun palas itu seperti balutan untuk memasukkan pulut ke dalamnya. Mina menggunakan cara begini untuk memudahkan kerja-kerja membalut Ketupat Palas. Selain daripada daun ini boleh menjadi lembut dan mudah dibalut nanti, ianya juga memudahkan anda untuk memilih saiz ketupat palas yang anda inginkan.

Nampaknya, pulut yang Mina tanak sebentar tadi telah pun beransur sejuk. Jom kita bungkus ramai-ramai. Ermmm...anda perlu tahu cara untuk membalutnya ya pembaca. Di sini Mina agak sukar untuk mengajarkannya kerana ianya memerlukan praktikal bukan setakat teori.

Setelah siap pulut itu dibungkus atau dibalut, pastikan anda menyimpulkan bahagian hujung Ketupat Palas itu supaya balutan atau bungkusannya kemas dan tidak akan tercabut. Selepas diikat, jika lebihan hujungnya panjang berjela, sila potong sedikit supaya ikatan itu tidak terjulur panjang ya. Setelah itu susun Ketupat Palas yang sudah sedia dibalut itu ke dalam periuk dan terus tenggekkan ke atas dapur. Kemudian masukkan air ke dalam periuk itu. Kuantiti air perlulah melebihi paras Ketupat Palas itu. Hidupkan api dapur kerana upacara merebus akan dijalankan sebentar lagi. Nyalaan api sederhana sahaja dan pastikan periuk itu ditutp semasa merebus Ketupat Palas. Rebuslah sehingga air kering tetapi jangan sampai hangus di bawah. Maksudnya jika air rebusan sudah cetek ( sebelum kering), segeralah anda menutup api dapur kerana Ketupat Palas anda sudah pun masak dengan jayanya. Setelah api dapur dipadam, pindahkan Ketupat Palas itu ke dalam besen penyejat, tapis atau yang sewaktu dengannya. Kalau payah sangat, cari-cari masih juga tak jumpa penyejat, boleh juga digunakan tudung saji.

Sebelum Mina akhiri entri ini, ingin Mina memberi beberapa tip kepada pembaca.

1. Kuantiti santan boleh anda curi (kurangkan) jika anda masak Ketupat Palas ini dengan kuantiti yang banyak. Contohnya jika anda menanak 5 kg pulut, sepatutnya santannya mestilah RM 10 tetapi anda boleh curi sedikit dan membeli santan hanya RM 9 . Mina tidak suka cara ini ya pembaca. Mina tetap menggunakan cara ukuran yang original.

2. Garam juga perlu diletakkan lebih untuk menjadikan Ketupat Palas itu berasa lemak dan syahdu.

3. Tempoh masak Ketupat Palas itu diukur mengikut air yang digunakan untuk merebus Ketupat Palas itu ya, bukan diukur dengan kiraan jam.

Baiklah, di bawah ini Mina sertakan beberapa gambar yang sempat Mina rakam semasa sambutan Hari Raya 2009 tahun lepas. Jom kita saksikan visualnya.




Inilah rupanya Ketupat Palas yang telah dibalut dan direbus.



Ketupat Palas yang telah dimasak dengan well done nya. Jika betul cara merebusnya, Ketupat Palas anda pasti tidak lembik ( jika anda ikut betul-betul petua Mina, InsyaAllah Ketupat Palas anda tidak lembik atau benyek), tempoh ketahanannya akan menjadi panjang. Kiranya panjanglah umur ketupat Palas ini. Boleh disimpan di dalam peti sejuk dan apabila anda hendak memakannya, ambillah beberapa biji dan kukuskannya semula. Begitulah caranya agar anda dapat menikmati Ketupat Palas ini dalam jangka hayat yang lama.



Nampak tak tu, ada sesetengah Ketupat Palas yang Mina ikat dengan getah kerana jenis daunnya yang pendek dan ini menyukarkan Mina untuk menyimpulkan ikatannya. Jika tidak disimpul, bimbang pula isi pulut itu terburai semasa kerja-kerja merebus berlangsung. Ikutlah kreativiti masing-masing ya.



Haaa...ini Mina sudah cop dahulu. Mina suka Ketupat Palas yang gemuk dan montel macam dalam gambar ini. 2 biji Ketupat Palas ini sudah boleh mengenyangkan perut Mina. Ketupat Palas ini sesuai dimakan di pagi raya dengan berlaukkan rendang ayam atau daging, kuah kacang, serunding, kuah lodeh, kurma dan apa saja. Jika makan begitu saja juga, rasanya tetap lemak dan enak. Mina harap individu yang bertanya tentang resipi ini, berpuas hati dengan entri Mina kali ini. Dengan ini, Mina mohon undur diri kerana badan Mina teramatlah letihnya setelah sehari suntuk ke hulur ke hilir melayan kerenah anak-anak yang hendak shopping sakan. Apa-apapun Mina ingin mengucapkan Selamat Hari Merdeka dan Selamat Hari Raya. Wassalam.


5 comments:

  1. Ketupat Palas ini juga adalah menu Hari Raya yang wajib dihidangkan di rumah saya. Saya pun sukakan rasa keenakannya. Alhamdulillah, kerana kita mempunyai makanan kegemaran yang sama.

    ReplyDelete
  2. SAYA MENJUAL KETUPAT PALAS DARI RESEPI TRADISI UTARA..RASA MEMANG SEDAP DAN CUKUP RASA..CUBALAH..
    rizqaabadi@yahoo.com

    ReplyDelete
  3. salam...klo nk cri daun palas yg dalam paket ade jual x? klo ade kat kedai runcit biase ade x?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumussalam WBT

      Rasanya tak ada Ketupat Palas segera seperti ini. Yang ada di pasaran hanyalah Ketupat Palas yang dibungkus dengan plastik dan rasanya tidak sedap sebab Mina pernah mencubanya dahulu. Rasanya tidak menepati piawaian citarasa Mina!

      Delete