Jom Klik!

Thursday, October 28, 2010

UBI KAYU GORENG SEDAP

Pada suatu hari yang berbahagia, berjalanlah Mina ke pasar untuk mencari barang-barang basah. Arakian, terpandanglah Mina selonggok ubi kayu yang cantik disusun di dalam sebuah bakul. Alkisahnya, maka tertariklah hati Mina untuk menyunting barang 2 3 ketul ubi kayu tersebut.

Dikhabarkan dahulu kala, semasa zaman atuk nenek Mina, waktu tu zaman pemerintahan Jepun si mata sepet tu, ubi kayu ini sememangnya menjadi makanan ruji atau utama penduduk Malaya. Kiranya ubi kayu ini sinonim dengan makanan untuk orang-orang susah ya. Tetapi sekarang, menu ubi kayu rebus sangat popular dihidangkan di kopitiam. Pada masa itu, jangan haraplah hendak jumpa beras Cik Ton. Memanglah payah. Tiba-tiba sedih pula hati Mina apabila mengenangkan kekejaman tentera Jepun yang suka menzalimi orang awam. Tunggu sekejap ya, Mina hendak ambil saputangan untuk mengelap air mata. Anda jangan ke mana-mana tau. Sekejap lagi Mina kembali.

Baiklah, puas hati Mina dapat menghamburkan air mata sebentar tadi. Mina ni memanglah, tiba-tiba saja boleh menangis. Mudah benar hati Mina tersentuh jika mengimbas memori-memori pahit yang pernah diceritakan oleh arwah nenek kepada Mina. Jadi, semasa pemerintahan Jepun dahulu, di dalam kepayahan dan kesusahan itu, maka terciptalah berbagai resipi yang berasaskan ubi kayu.

Hari ini Mina ingin berkongsi dengan anda semua, satu resipi rahsia yang sudah tidak akan menjadi rahsia lagi sebab sebentar lagi pasti ada insan-insan yang prihatin dan akan mengopi pastekan entri-entri resipi ini. Walaubagaimanapun anda jangan bimbang ya pembaca sekalian, kerana segala resipi-resipi yang ada di blog Mina ini telah Mina wakafkan dan halalkan untuk kegunaan anda semua. Belajarlah memasak dan manfaatkan ilmu yang ada di sini semoga ianya berguna untuk anda semua dan menjadi amal jariah untuk si pemilik resipi ini ( Mina lah tu ). Sesungguhnya Mina tidak mengharapkan apa-apa balasan daripada anda kerana Mina hanya mengharapkan keredhaan dari Allah SWT sahaja. Ameen.

Jom kita saksikan bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat Ubi Kayu Goreng Sedap.



Bahan-bahan yang diperlukan cukuplah mudah Cik Ton. Inikan menu sewaktu atuk nenek Mina susah dulu. Jadi, tidaklah banyak bahan-bahan yang digunakan. Ubi kayu, garam dan minyak masak untuk menggoreng. Insaf tau Mina. Apabila Mina makan menu ini, berlinang-linang air mata Mina kepiluan. Kalau anda tidak percaya, cubalah anda membuatnya. Sewaktu menikmati kelazatan Ubi Kayu Goreng Sedap ini, tiba-tiba saja tertayang di kotak fikiran Mina babak-babak kekejaman dan kezaliman tentera-tentera Jepun yang tiada mempunyai perasaan belas kasihan itu. Mina rasa macam hendak kompang muka mereka dengan kuali leper roti canai. Ishhh ..sadis betul Mina.



Takkan tidak tahu lagi. Apa lagi tunggu, sila kupas ubi kayu tersebut. Wahai generasi muda tahun 80an, 90an dan 2000an. Anda tahu ke tidak cara untuk mengupas ubi kayu ini?. Kalau tidak tahu, tolong angkat tangan ya. Kerana Mina akan mengajar anda sekarang. Baiklah, Mina malas hendak marah-marah hari ini kerana Mina ini kan sentiasa cool saja. Ehemm...mula-mula anda potong ubi kayu itu kecil-kecil macam dalam gambar di atas. Kemudian, kopek kulitnya seperti mengopek kulit bawang ya. Jangan pula anda mengopek ubi kayu seperti anda mengupas ubi kentang atau buah epal. Salah tu Cik Ton. Kalau masih blur juga, mari datang rumah Mina supaya Mina boleh ajar anda bagaimana cara mengopek ubi kayu dengan cara yang lebih efisen.



Selepas dikupas kulit ubi kayu tersebut, sila basuh dan masukkan ke dalam periuk. Masukkan air sekali kerana kita akan merebus ubi kayu tersebut hingga empuk. Semasa merebus , sila masukkan garam ya. Ikutlah tahap kesukaan anda pada rasa kemasinan itu. Kalau berani, masukkanlah garam lebih-lebih. Biar you all cepat dapat sakit darah tinggi Cik Ton. Kalau takut, letakkan hanya sekadarnya sahaja. Agar ada rasa lemak masin , penuh berkrim dan disukai ramai.



Beginilah gayanya apabila ubi kayu itu sudah direbus dengan empuk. Toskan airnya dan pindahkan ke dalam pinggan atau besen. Sukahati you all lah hendak letak kat mana ya. Sebenarnya ubi rebus seperti ini sedap jika dimakan dengan sambal tumis dan ikan kering jeruk. Ermm...power tu Cik Kiah....Lapar perut Mina. Tetapi kali ini Mina bukan hendak mengajar resipi ini ya. Jom kita mengembara lagi. Cerita tentang resipi ini masih belum tamat.





Selepas itu, ubi itu perlulah dipotong macam gambar di atas. Nampak ke tidak ni??.



Selepas itu, bolehlah dipanaskan minyak dan apabila minyak sudah panas, sila masukkan sedikit demi sedikit ubi kayu rebus yang telah dipotong tadi.



Goreng hingga garing dan warnya keemasan menyilau pandangan. Kemudian angkat dan toskan. Perlu digoreng dengan tahap api yang sederhana ya. Ingat tu!!


Beginilah keadaannya hasil gorengan ubi kayu atau sinkong bak kata orang Indonesia. Ubi kayu ni memang banyak khasiatnya Cik Ton. Selain daripada ianya membuatkan perut kita sebu dan berangin. Kiranya asyik hendak mengebom siang malam ja, none stop tetapi disamping itu ubi kayu juga kaya dengan vitamin A. Vitamin A baik untuk penglihatan, kulit dan tulang. Ubi kayu juga mudah dicerna dan tinggi karbohidrat. Ubi Kayu Goreng Sedap ini rasanya sangat enak kerana ianya lembut di dalam dan garing di luar. Ditambah lagi dengan rasa ubinya yang lemak masin akan membuat anda ingin mengunyah tanpa henti ya pembaca. Kalau anda berani, jomlah cuba resipi Ubi Kayu Goreng Sedap ini. Selamat mencuba!

P/S: Jangan lupa klik iklan kat atas dan tepi tu tau. TQ

2 comments:

  1. Assalam Mina...amboiiii panjang lebar ya cerita En Ubi niii.....tapi betullah tu Mina makan ubi rebus dicicah pulak dengan sambal tumis bilis emmm sedapnye.Untunglah ya Mina bagi mereka yang tinggal kat kampung2 takyah nak beli2 ubi ni bila teringin terus gi cabut kat belakang rumah..tapi kita yang takde ni....beli aje..akak pon kebetulan minggu lepas baru merebus ubi dipadankan dengan sambal tumis tapi taklah terus mengoreng macam Mina yang rajin niiii.
    Yang pat bom megebum ni buat2lah tak paham yaaa

    ReplyDelete
  2. Salam Kak SH Mariam,

    Hehehe. Mina tak tahan nak gelak bila baca komen akak ni. Betul kata akak tu, ubi kayu kalau dicicah dengan sambal tumis ikan bilis memang mantop kak. Ermmm...Orang kampung memang beruntung sebab mereka boleh menanam ubi kayu di kebun sendiri. Tetapi kadang-kadang mereka pun dah jemu asyik menghadap menu ubi rebus saja kak. Itu yang mereka komersialkan lagi ciptaan makanan dari hasil ubi kayu. :)

    ReplyDelete