Sunday, November 21, 2010

NASI LEMAK

Usai solat subuh, Mina terus bergegas ke dapur untuk menanak Nasi Lemak. Kebiasaannya pada hari persekolahan, jika Mina teringin hendak makan Nasi Lemak, Mina akan membeli sahaja di gerai berhampiran barang sebungkus dua untuk dibuat sarapan pagi. Memandangkan sekarang ini, musim cuti persekolahan sudah bermula dan anak-anak juga semua sudah berada di rumah, Mina pun meringan-ringankan tulang untuk membuat Nasi Lemak dengan menggunakan air tangan Mina sendiri. Bukan susah pun pembaca sekalian. Cara Mina menanak Nasi Lemak ini, sama sahaja seperti cara Mina menanak nasi putih. Mudah, sedap dan praktikal.

Setibanya di dapur, Mina terus mencari alba di rak yang menyimpan beraneka rempah yang telah Mina masukkan ke dalam botol-botol kecil, kot-kot lah cik alba tidak ada, mahu tidak jadi Nasi Lemak Mina nanti. Alhamdulillah, akhirnya terjumpa juga Mina dengan cik alba yang kedudukan botolnya tersorok dicelah-celah susunan botol-botol yang besar. Jika tidak ada alba memanglah tidak cukup rasa Nasi Lemak Mina nanti.

Selepas melihat semua bahan yang diperlukan sudah ada termasuk santan yang telah Mina beli semalam dan telah Mina simpan di dalam peti beku, maka Mina pun terus mencapai pisau dan membuka pintu dapur untuk mengambil serai dan daun pandan yang Mina tanam dibelakang rumah. Sebelum keluar, Mina pastikan yang tiada orang sedang lalu lalang di kawasan belakang dapur Mina. Takut-takut juga pembaca sekalian. Sekadar untuk beringat-ingat, almaklumlah akhir-akhir ini kejadian jenayah kerap benar berlaku di Malaysia. Ingat pembaca!! Sesungguhnya kejahatan bukan kerana ada niat tetapi kejahatan berlaku kerana mereka ada kesempatan untuk melakukannya. Usai Mina mencabut sebatang serai dan sehelai daun pandan, dengan segeranya Mina buka kaki menghayun langkah seribu masuk ke dalam rumah dan mengunci pintu rapat-rapat. Alhamdulillah, selamat Mina. Tidak ada manusia yang dapat skodeng Mina hari ini.

Semasa Mina menulis entri ini, jam sudahpun menunjukkan ke angka tepat 9 malam. Selepas makan malam sebentar tadi anak bongsu Mina iaitu Mohamad Taufiq minta agar diajarkan dia cara membuat Roti Canai. Maka sekarang ini, Taufiq sedang menguli doh Roti Canai dengan berkeringatnya. Kalah abang mamak yang menguli 2 besen besar doh Roti Canai. Padahal, Taufiq baru menguli doh untuk 2 keping roti canai peluhnya sudah seperti atlit yang membuat larian pecut 200 meter. MasyaAllah, begitu teruk sekali dia. Bila harga Roti Canai naik 10 sen, selalu orang komplen dan merungut. Ermmm...siapa-siapa yang suka komplen kenaikan harga makanan tu, cuba suruh mereka buat sendiri supaya mereka faham betapa azabnya hendak menyediakan sesuatu makanan itu. Mina insaf!!





Bahan-bahan untuk menyediakan Nasi Lemak ialah beras 5 pot ( Mina menggunakan beras Basmathi ), santan RM 1, sedikit alba, sehelai daun pandan yang telah disiat dan diikat, serai dan halia dititik, bawang merah dan bawang putih dihiris, 5 pot air dan sedikit garam.



Kosek atau cuci beras dan masukkan ke dalam periuk nasi elektrik. Kemudian masukkan air dan masukkan semua bahan-bahan tadi kecuali santan jangan dimasukkan dulu. Kemudian, tekan suis dan tutup periuk nasi elektrik itu. Biarkan hingga air menjadi kering.




Setelah air nasi kering sedikit, sila masukkan santan dan gaul sebentar dengan rata ya. Sila gaul dari tepi agar nasi anda tidak patah dan cantik apabila dihidangkan nanti. Setelah santan mesra dengan beras. Sila tutup semula periuk nasi elektrik itu dan biarkan sebentar ya.



Nasi yang sudah digaul bersama santan sebentar tadi.




Apabila nyalaan lampu di 'COOK' sudah berpindah ke 'WARM', sila tunggu sebentar ya supaya Nasi Lemak anda masak dengan lembutnya. Kemudian bolehlah ditutup suis dapur elektrik itu. Nampak tu...Nasi Lemak Mina sudah siap ditanak. Cantik tak?. Sedap tak?. Tentulah sedap!!





Beginilah rupa Nasi Lemak Mina setelah dihidangkan. Nampak tu, Nasi Lemak itu dimasak dengan well done nya. Tidak keras dan tidak lembik. Bak kata pepatah nenek Mina yang berasal dari tanah Britain ' It's just nice baby!'




Mina telah memasak Sambal Tumis Udang Bercampur Sotong untuk dilawankan dengan Nasi Lemak tadi.



Kacang tanah dan ikan bilis goreng.




Telur rebus yang enak rasanya dan putih gebu seperti kulit Mina yang licin bagaikan telur dikupas. Terperasan lak Mina.




Timun sebagai ulam. Jika tidak ada timun di dalam Nasi Lemak, memanglah tidak lengkap ya pembaca sekalian. Haruman timun apabila bercampur dengan aroma Nasi Lemak bisa menggegarkan perut yang sudah berkeroncong kelaparan. Betul...Mina tak tipu. Ermm...yummy!...yummy!



Akhir sekali, beginilah cara untuk menghidang Nasi Lemak dan lauk pauknya. Semasa Mina makan di Pavilion, Kuala Lumpur tempohari, harga Nasi Lemak yang telah dihidang cantik seperti ini bernilai RM 10. Memang berbaloi Cik Kiah. Jomlah...bila-bila kita buat rombongan Cik Kiah ke Pavilion. Walaupun harga makanannya boleh dikatakan mahal oleh sesetengah orang, tetapi pada pendapat Mina, makanan di situ memang ada rasa dan sedap ya. Tidak rugi duit Mina sebab sudah semestinya sedap!!


11 comments:

  1. salam mina,aduh,cara mina tanak nasi lemak ni serupa mcm org perlih ,boh halba,org luar jarang boh halba ni...emm..sedapnya,bila la mak teh boleh betandang kerumah mina ni,nak rasa keenakkan masakan mina.

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum Mak Teh,

    Sebenarnya Mina pun tidak tahu asal usul kejadian halba yang dimasukkan ke dalam Nasi Lemak ini resipi asal Utara atau Selatan. Kerana sejak Mina lahir lagi, emak Mina jika hendak memasak Nasi Lemak, pasti beliau mencampakkan beberapa biji halba ke dalam Nasi Lemak masakannya. Kata beliau ' Jika tiada halba, maka bukanlah Nasi Lemak namanya'. Ini juga diakui oleh arwah nenek Mina di sebelah Bak Mina. ( Orang asli JB panggil ayah mereka dengan menggunakan panggilan 'Bak'). Jemputlah datang ke rumah Mina Mak Teh. Terima kasih Mak Teh.

    ReplyDelete
  3. salam kak mina,

    brp kuantiti santan yang perlu diletak ye? gune santan cair ke? klu gune pek santan boleh kn?

    ReplyDelete
  4. Di dalam Nasi Lemak yang telah akak masak ini, akak cuma menggunakan RM 1 santan saja. Jika adik hendak gunakan santan segera juga boleh. Jika adik masukkan santan secara berlebihan, ditakuti Nasi Lemak adik terlalu lemak hingga jadi muak pula. Bersederhanalah dalam apa jua bahan yang adik ingin masukkan ya.

    ReplyDelete
  5. Thanks for your recipe, I can cook a nice Nasi Lemak

    ReplyDelete
  6. You are most welcome and please don't be hesitate to come here oftenly :)

    ReplyDelete
  7. salam kak mina, mcm mane nk masak sambal sotong yang merah mcm tu..x mnjadi la saya masak..

    ReplyDelete
  8. Waalaikumussalam WBT wahai adik yang bertanya. Lain kali kena letak nama di komen ini ya.

    Ok, untuk menjawab persoalan adik itu akak ada beberapa tipnya ya. Pertama: Semasa membersihkan sotong, pastikan dakwat hitam pada sotong itu tidak terpecah. Jangan pecahkan kelongsong dakwat hitam itu dan buangnya secara berhati-hati kemudian cuci sotong itu dengan air.

    Kedua: Masukkan sotong yang telah dibersihkan di dalam kuali dan rebus sotong itu tanpa air. Merebus tanpa air itu bertujuan untuk mengeringkan air sotong. Setelah sotong agak mengecut sedikit, barulah di angkat dan bersihkan kuali itu dan bolehlah mula memanaskan minyak dan menumis bahan-bahan yang telah dikisar untuk membuat Sambal Sotong. InsyaAllah, Sambal Tumis Sotong adik akan menjadi kemerah-merahan.

    ReplyDelete
  9. Sedap, halba rasa ape?x pernah guna halba.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Jika anda mahu tahu bagaimana rasa 'halba', Mina sarankan lebih baik anda membeli halba di kedai dan cuba mencampurkan sedikit halba ke dalam tanakan Nasi Lemak anda. InsyaAllah, dapatlah anda menghidup keharuman bau dan keenakan rasa halba itu.

      Delete
  10. Thank you aunty for sharing some recipe. You know what, I took your recipe as my reference in my history folio. Thanks a lot Aunt Mina. I'm trying to complete my history folio and pray for me Aunty Mina. Thanks a lot dear aunt. you're the best :D

    ReplyDelete