Monday, November 1, 2010

SUP SAYUR CAMPUR

Nampaknya musim tengkujuh sudah mulai melanda Malaysia. Negeri Perlis teruk dilanda banjir hingga rumah penduduk telah dimasuki air hingga ke paras 2 kaki tingginya. Kepada saudara mara Mina yang berada di Perlis, Mina harap kalian semua tabahkan hati dengan ujian ini ya. Nampaknya banyak sekali fenomena alam seperti banjir, tanah runtuh, gunung berapi,ribut taufan dan sebagainya yang kerap berlaku akhir-akhir ini. Namun begitu, sebagai manusia yang Allah swt kurniakankan akal fikiran, kita seharusnya berfikir dan jadikan iktibar di atas setiap kejadian yang telah berlaku ini. Semoga kita lebih mengenali diri dan tujuan kita dihidupkan di muka bumi ini.

Sesungguhnya setiap apa yang berlaku tentu ada sebab dan musababnya. Samada kita sedar mahupun tidak, sebenarnya bencana alam ini terjadi adalah disebabkan oleh tangan-tangan rakus kita sendiri yang terlalu mengejar pembangunan tanpa memikirkan natijah daripada setiap tindakan yang telah kita lakukan. Pernahkah kita terfikir bahawasanya disetiap kejadian bencana ini mengandungi hikmah untuk kita supaya kita mendapat pengajaran daripadanya?. Mungkin ini adalah bahasa Tuhan sebagai peringatan kepada kita semua supaya kita lebih menginsafi diri di atas kekuasaan Allah swt yang jika mahukan sesuatu perkara itu berlaku hanya dengan menyebut ' Kun Fayakun' yang bermaksud 'Jadi! Maka jadilah ia'. Fikir-fikirkan lah. Mina insaf!

Baiklah pembaca sekalian, hari ini Mina tidak mahu dihinggapi perasaan sedih kerana Mina hanya mahukan mood yang happy-happy saja. Semoga keceriaan yang melingkari kehidupan Mina, tempiasnya akan mengenai anda juga. Alhamdulillah, kerana hari ini kita masih dikurniakan nikmat hidup dan sihat ya.

Semalam seorang kawan lama Mina telah menelefon Mina dan mereka telah bercadang untuk mengadakan reunion pada hari Jumaat ini. Kiranya Mina hanya ada 3 hari tempoh masa untuk bersiap ya. Maksudnya di sini, persiapan diri Mina lah. Anda pun, macam tidak faham-faham. Mana tidaknya, kan Mina sudah tidak bertemu mereka hampir 20 tahun, oleh itu mestilah mereka mahu melihat penampilan diri Mina selepas 20 tahun terpisah. Untuk pengetahuan anda semua, kawan-kawan Mina ini adalah bekas pelajar Tingkatan Enam, Sekolah Menengah Datuk Jaafar, Johor Bahru.

Sebagai persiapan pertama untuk berjumpa mereka, Mina akan turunkan berat badan Mina. Sebenarnya pembaca sekalian. Bukan berat badan yang menjadi persoalannya, tetapi ukuran badan yang cantik, paling Mina utamakan. Maksudnya potongan ( cutting ) badan. Mina pinjam kata-kata Marilyn Monroe ya. Anda kenal siapa itu Marilyn Monroe?. Beliau adalah seorang artis cantik era 50-an yang mengakhiri hidupnya dengan cara membunuh diri. Mengikut sumber lain, dikatakan Marilyn Monroe ini seorang 'Ulat Buku'. Dikatakan juga,Marilyn Monroe mempunyai masalah mental dan beliau sangat menyukai karya-karya sastera. Beliau mati dalam usia 36 tahun dengan memakan ubat tidur yang berlebihan.

Mina hanya ingin kongsikan dengan pembaca sekalian tentang filosofi kecantikan tubuh badan bagi Marilyn Monroe. Kata beliau " Kecantikan tubuh badan yang cantik pada pandanganku adalah gemuk di bahagian tertentu dan kurus di bahagian tertentu". Ermm...adakah anda faham dengan kata-kata ini?. Anda fikirlah sendiri ya.

Oleh itu sempena hari Mina berdiet sedunia, Mina telah mencipta satu resipi yang sihat lagi mengenakkan. Resipi ini Mina namakan Sup Sayur Campur. Mari kita lihat apa yang akan berlaku seterusnya. Jeng...jeng...jeng...





Nampak tu, fenomena alam juga telah menjadikan tubuh badan Mina dilanda masalah kemontelan & kegemukan tanpa syarat. Ermm...hari ini Mina tidak boleh makan nasi. Makan sup sayur saja.




Bahan-bahan lazim yang diperlukan ialah daging rebus, udang, ayam, kobis bunga, karot, cendawan butang, tomato, lada merah, daun sup, daun bawang, bawang goreng, garam, serbuk perasa, minyak untuk menumis, bahan hiris dan tumis ---> bawang merah & bawang putih.

Anda juga boleh menggunakan sebarang sayur mayur atau daun-daun ( daun pintu diharamkan sama sekali) lain yang sesuai untuk dibuat sup ya.



Mula-mula panaskan minyak dalam periuk. Seperti biasa Mina menggunakan minyak jagung ya. Hendak jaga kesihatanlah katakan. Kemudian, masukkan bahan-bahan hiris itu tadi dan goreng sebentar.




Kemudian, masukkan daging rebus, ayam dan udang.




Masukkan pula air. Boleh juga dicampurkan dengan stok rebusan daging tadi. Tidak salah Cik Ton oii. Ikutlah suka hati you all. Ada Mina kesah??.




Tunggu hingga kuah mendidih. Setelah mendidih, sila masukkan sayur mayur yang telah dipotong dan dibersihkan tadi.




Akhir sekali, masukkan cendawan, tomato, lada hiris, garam dan serbuk perasa. Kemudian, rasalah tahap kemasinan yang diingini. Apabila kuah mendidih, bolehlah dipadamkan api dapur. Makanlah Sup Sayur Campur ini ketika panas ya.





Beginilah rupanya Sup Sayur Campur yang telah berhasil Mina masak. Semasa dihidangkan, sila taburkan bawang goreng dan daun sup / daun bawang hiris ke atas sup tersebut. Nampaknya ini sajalah menu Mina sepanjang berdiet ini. InsyaAllah, program diet Mina akan berhasil seperti berhasilnya Mina menyediakan menu Sup Sayur Campur ini. Ameen. Mina Boleh!!!




6 comments:

  1. wah..sedapnye sup sayur cik mina ni..terus terliur..sy ni plak mmg kaki mkn sayur..sayur je memanjang..hadapkan sayur setimbun pun bley habis sorg2..huhu..selamat menjaga kesihatan ye cik mina..

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum WBT Melatimdhodari

    InsyaAllah sedap masakan ini. Anak-anak Mina memang sukakan jenis sup yang ringan seperti ini. Selain rasanya sedap, sup ini juga sangat tinggi khasiatnya. Sup Sayur ini juga sesuai untuk sesiapa saja yang sedang menjaga diet mereka. Gerenti badan tidak akan memontel.

    ReplyDelete
  3. Salam kak Mina.....cara kita masak sayur campur sama ar.anak-anak saya suka makan sayur campur yang masak cam gini.Cuma daging je yang saya x masukkan,coz saya x makan daging(alergy).Mmg sedap....terbaek ar kak mina.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumussalam WBT Melina

      Terima kasih kerana sudi singgah ke blog Dari Dapur Mina :)

      Delete
  4. salam k.mina...kalau boleh elakkan udang bercampur ngan daging...x baik utk kesihatan..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumussalam wbt

      Terima kasih tegurannya itu:)

      Delete