Monday, December 13, 2010

NASI AYAM

Hari Ahad lalu, Mina dan anak-anak berjalan ke pusat membeli belah Plaza Angsana. Cadangnya, kami anak beranak hendak membeli kelengkapan persekolahan yang akan tiba tidak lama lagi. Selepas memborong pakaian, kasut dan bag sekolah, kami anak beranak pun pergilah menuju ke ruang legar tingkat dua Plaza Angsana. Rupa-rupanya di ruang legar itu sedang diadakan Ekspo Produk Halal. Mina tidak pasti samada ekspo itu baru dirasmikan hari Ahad itu atau pun sudah tiba hari penutupnya.

Apa yang pasti semasa Ekspo Produk Halal itu mina kunjungi, Mina dapat melihat visual-visual yang dipaparkan tentang penyembelihan ayam mengikut syariat Islam dan bagaimana kriteria sijil HALAL dikeluarkan mengikut piawaian Jabatan Agama Islam Johor kepada pengusaha ayam. Memang tidak diragui lagi. Dengan itu, Mina terus memborong ayam yang dijual dengan harga yang sangat berpatutan dan berbaloi-baloi.

Pembaca hendak tau tak?. Di Ekspo Produk Halal itu, Mina telah membeli 2 ekor ayam, 8 ketul peha ayam, 8 ketul kepak ayam, 2 bungkus besar fishball, 2 bungkus besar fishcake. Seperti yang Mina telah katakan tadi, harganya sangat berpatutan dan masih fresh dari kilang. Disebabkan Mina telah memborong ayam dengan banyak, maka hari ini Mina ingin berkongsi resipi Nasi Ayam air tangan Mina dengan anda semua. Jom lah kita ke dapur Mina.



Bahan-bahan yang diperlukan ialah beras ( Mina gunakan beras Basmathi ), ayam, salad, timun, tomato, lada merah, daun pandan, daun sup, daun bawang, bawang goreng, limau kasturi, sup bunjut, marjerin, madu, kicap pekat, kicap masin, sos tiram, minyak, gula, garam, serbuk perasa, bahan kisar ---> halia, bawang putih & bawang merah.




Sebagai persediaan awal untuk membuat Nasi Ayam cara Mina, anda perlu menuruti langkah pertama ini. Mula-mula panaskan minyak dalam periuk. Tumis bahan kisar.




Tumis bahan kisar hingga garing dan setelah garing, masukkan sedikit air.




Masukkan ayam yang telah dipotong 4 dan kaki, leher & kepak ayam dipotong kecil ke dalam periuk tumisan ini. Gaul rata.




Kemudian, tambahkan air lagi hingga melepasi paras ayam ini ya. Reneh sup ayam ini hingga ayam menjadi empuk.




Setelah ayam itu empuk, bolehlah dimasukkan garam dan serbuk perasa ya. Kemudian ambil kuah sup ayam ini untuk menanak Nasi Ayam. Mina menggunakan sukatan 7 pot beras dan Mina mengambil 7 pot kuah sup ini dan Mina masukkan ke dalam mangkuk lain lalu Mina sejukkannya. Selepas itu, Mina keluarkan ayam yang telah dipotong 4 itu masuk ke dalam besen dan Mina toskan. Mina hanya tinggalkan potongan kecil kaki, leher dan kepak ayam saja di dalam periuk sup ini.





Kemudian Mina masukkan sup bunjut ke dalam periuk sup itu dan Mina rasa tahap kemasinannya. Mina biarkan kuah menggelegak sebentar dan setelah berpuas hati dengan rasa keenakannya, bolehlah dipadamkan api dapur ya.




Sudah siap kuah sup Nasi Ayam Mina.




Beginilah kuah sup yang telah ditabur dengan hirisan daun bawang, daun sup dan bawang goreng. Sedap Cik Ton bila dihirup panas-panas. Sure terangkat ni. Tak tipu ni. Baiklah selesai Mina menunjukkan cara untuk membuat sup Nasi Ayam ya. Jom kita lanjutkan ke adegan seterusnya.





Ingat lagi tak, kuah sup sebanyak 7 pot yang Mina telah asingkan dan sejukkan tadi?. Kuah sup ini Mina akan gunakan untuk menanak Nasi Ayam sebentar lagi. Cara Mina menanak Nasi Ayam memang mudah ya. Hanya kepakaran sains dan kelogikan akal saja yang Mina gunakan tau. Mina tidak menggunakan jampi serapah. Ingat!! sesungguhnya memasak itu mudah. Teramatlah mudah.




Cuci 7 pot beras dan toskan airnya. Mina mencuci beras pun menggunakan periuk dalam rice cooker. Selepas beras dicuci, masukkan 7 pot kuah sup tadi yang telah Mina sejukkan awal tadi ya. Oleh kerana di dalam kuah sup tadi Mina sudah meletakkan garam dan serbuk perasa, maka tidak payahlah lagi Mina menambah apa-apa bahan perasa lagi ya. Masukkan sehelain daun pandan yang telah dibersihkan dan disiat-siatkan lalu dipintalkan seperti gambar di atas. Kemudian teruslah masukkan periuk nasi itu ke dalam rice cooker. Letak penudung periuk dan tekan 'COOK'.





Apabila air di dalam periuk nasi sudah hendak mengering, bolehlah direnjiskan 2 sudu marjerin untuk menjadikan bau Nasi Ayam anda itu harum mewangi dan berwarna kekuningan ya. Jika suka boleh juga dititiskan barang 2 3 titik minyak bijan ke dalam Nasi Ayam ini ya. Oleh kerana anak Mina tidak menyukai bauan minyak bijan, maka Mina tidak memasukkannya. Jika anda ingin tahu, resipi Nasi Ayam yang tulin memang ada bauan minyak bijan ya. Sila kacau Nasi Ayam ini dari tepi supaya nasinya tidak patah. Kemudian tutup semula penudung periuk nasi itu.



Beginilah rupa Nasi Ayam buatan Mina.




Setelah dipindahkan ke pinggan hidangan, beginilah rupanya. Apa macam?. Cantik tak Nasi Ayam Mina?. Jom kita teruskan pengembaraan kita dalam menjejak resipi Nasi Ayam.



Ini pula adalah bancuhan yang akan Mina gunakan untuk memerap ayam yang akan Mina goreng sebentar nanti. Kali ini Nasi Ayam Mina akan dimakan bersama Ayam Goreng Madu. Masukkan 1 sudu besar madu, 1 sudu besar kicap pekat, 1 sudu besar kicap masin/cair dan 1 sudu besar sos tiram.




Kacau hingga menjadi sebati.




Ini adalah ayam yang telah dipotong 4 yang telah Mina asingkan dari periuk kuah sup tadi. Anda masih ingat tak?. Sebentar lagi Mina akan memerap ayam-ayam ini.



Gaulkan sos kicap tadi ke keseluruhan ayam-ayam tadi hingga menyalut badan ayam.



Kemudian peraplah sebentar ya. 10 atau 20 minit sebelum digoreng.




Panaskan kuali dan masukkan kuantiti minyak yang banyak ya.




Apabila minyak sudah panas, bolehlah di masukkan ayam yang telah diperap tadi. Tujuan Mina menggoreng ayam ini hanyalah untuk menggaringkan bahagian luar ayam ini saja ya. Maka, tidak perlulah Mina menggoreng lama ayam ini kerana ayam ini, keadaannya memang sudah sedia empuk kerana sudah melalui proses perebusan di dalam kuah sup sebelum ini.




Semasa menggoreng ayam ini, tolong jangan berjauhan dengan kuali ini kerana ayam ini perlu dipaling-palingkan selalu. Tujuannya untuk mendapatkan Ayam Goreng Madu yang garing di luar tetapi lembut di dalam. Sila palingkan selalu jika anda tidak mahu Ayam Goreng Madu anda over cook atau terlebih rentung. Faham-faham saja lah kan.




Beginilah hasilnya Ayam Goreng Madu air tangan Mina setelah di angkat dari kuali. Semasa menggoreng ayam ini, haruman baunya benar-benar menusuk ke kalbu Mina dan menggoda jiwa yang kelaparan. Enak sangat!!




Ini pula cara untuk membuat sos lada hidup. Bahan-bahannya ialah lada merah, bawang putih, jus limau kasturi, garam, gula dan kuah sup. Kemudian sila kisar. Selepas dikisar, sila rasa tahap kemasinan, kemanisan, kepedasan dan kemasaman yang anda inginkan. Ikutlah selera anda ya. Jika kurang 4 rasa yang telah Mina sebutkan sebentar tadi, pandai-pandailah anda menambah apa-apa yang perlu ya. Takkan lah itu pun anda tidak tahu.




Selepas itu, masukkan sos yang telah siap di kisar itu ke dalam periuk tau.




Dan masak lah hingga mendidih. Tujuan proses ini dilakukan ialah supaya si pemakan tidak sakit perut. Gerenti bersih, suci dan halal semua masakan Dari Dapur Mina. Ameen.




Beginilah rupanya sos Nasi Ayam yang telah berjaya Mina buat.




Sup Nasi Ayam.


Ayam Goreng Madu yang telah Mina hiaskan di sekelilingnya dengan hirisan timun, salad dan tomato. Cantik tak?. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah swt.




Ini gambar close up Nasi Ayam Mina yang sedap, harum dan well done.



Beginilah cara menghidangkan Nasi Ayam istimewa Dari Dapur Mina. Tidak payahlah Mina menggambarkan rasa kenikmatan Nasi Ayam ini ya kerana Mina pasti anda semua yang di luar sana pasti sudah mencuba atau merasai keenakan rasa Nasi Ayam yang terdapat dijual di gerai dan di restoran. Kali ini, apa kata jika anda mencuba memasak sendiri menu Nasi Ayam ini. Sure lazat dan kebersihannya turut terjamin.


10 comments:

  1. mmg style & confirm sedap :D

    ReplyDelete
  2. Stylo tu Aisyah. Rugi kalau tak tiru...:)

    ReplyDelete
  3. sedapnya nasi ayam akak ni...syukran kerana berkongsi !

    salam ingatan

    ustaz

    ReplyDelete
  4. Salam Ustaz,

    Apa khabar Ustaz?. Alhamdulillah dan terima kasih diatas pujiannya. InsyaAllah sedap jika kena dengan citarasa Ustaz. Salam ingatan juga dari kami di sini :)

    ReplyDelete
  5. Slm. Melihat secara keseluruhannya anda merupakan insan yang positif, kemas, sopan, kreatif dan berinovatif...Catatan anda memberikan inspirasi kepada manusia lain...teruskan...anda juga suka berkongsi ia menggambarkan anda mempunyai nilai tambah yang bagus...saya teruja dengan sebarang perkongsian anda..tahniah...paling kurang anda boleh menjadi seorang pendakwah melalui bidang yang diminati..bidang lokasi yg anda ceburi mempunyai tarikan tersediri dan nilai segnifikan yang halus...semoga anda menjadi insan pemangkin transformasi ummah dewasa kini..susun kerja yang unik, kemas, bersih, foto2 yang cantik (x boring mengikutinya) bagus.....Dunia dapur boleh mencorak dan menyumbangkan kepada pemurnian nilai kasih sayang yang tinggi antara keluarga dan sehabat andai...anda juga boleh keluarkan sebuah buku dalam karangan anda ia menarik dan mempunyai mutu yang tersendiri...hantarkan kepada penerbit anda akan dapat melibatkan seramai manusia di luar sana dalam menuju keluarga bahagia...di samping anda boleh menyumbangkan dalam dunia penulisan...sila saudari cuba semoga ia menjadi anjakan yg baru dilembaran 2011M/1432H ini...

    ReplyDelete
  6. Walaikumussalam Prof,

    Terima kasih di atas komen yang baik lagi membina itu. Sebenarnya itulah pengharapan saya semasa membina blog masak ini. Berkongsi segala rahsia masakan yang saya tahu dengan mengikut cara pandang pembaca yang tidak berpengalaman dalam kerja-kerja memasak. Segala yang saya lakukan dan tulis di blog ini, saya niatkan kerana Allah swt demi untuk mendapat keredhaanNya. Sekali lagi saya ucapkan ribuan terima kasih kepada Prof kerana menyokong perjuangan saya ini dan saya harap ianya akan berterusan ya. Salam ukhuwah dari saya.

    ReplyDelete
  7. salam Mina.mmg betul kata prof tu,mak teh sokong 100%.you have a way with words.mak teh akan menjadi antara org pertama memilikinya.

    ReplyDelete
  8. Waalaikumussalam wbt Mak Teh,

    Terima kasih di atas galakan dan sokongan yang membina itu. Jika tiada pembaca, tiada lah erti blog Dari Dapur Mina ini. Semoga ilmu yang baik ini dapat kita kongsi manfaatnya bersama :)

    ReplyDelete
  9. assalam kak mina..betul kata prof...kreatif , inovatif resepi dipaparkan ditunjukan langkah demi langah...senang utk dipelajari...halalkan saya jika meniru resepi yang telah kak mina paparkan...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumussalam WBT
      Terima kasih Mama Sally. Ambil saja mana-mana yang baik dari blog ini ya. Mina halalkan dunia dan akhirat. Alhamdulillah. TQ:)

      Delete