Jom Klik!

Thursday, April 14, 2011

PENGAT PISANG CAMPUR KELEDEK



Petang ini tiba-tiba saja tekak Mina teringin hendak makan menu yang manis-manis belaka. Bila Mina jengah ke dapur, maka terpandanglah Mina sesisir Pisang Nipah yang sedang masak meranum kuning. Apa lagi, bertambah-tambahlah mengetik anak tekak Mina mahukan Pisang Nipah itu segera dibuat sesuatu. Fikir punya fikir terlintaslah difikiran Mina resipi Pengat Pisang yang arwah nenek selalu sediakan untuk minum petang semasa Mina kecil dahulu.

Tetapi kali ini Mina ingin menambah Keledek untuk memeriahkan lagi rasa keenakan Pengat Pisang Mina ini. Jadi, apabila sudah ditambah keledek, maka nama menu ini juga turut berubah ya. Untuk meraikan kewujudan keledek di dalam masakan pengat ini, maka Mina memberi nama baru iaitu Pengat Pisang Campur Keledek. Apa macam?. Cun tak nama masakan ciptaan Mina ini?. Bukan calang-calang orang yang boleh mencipta nama masakan tau. Hanya orang-orang tertentu dan yang bertauliah seperti Mina saja yang diberi mandat untuk mencipta nama masakan yang seumpama ini. Tiba-tiba saja Mina rasa macam sudah bertindak riak. Maafkan Mina ya pembaca. Mina hanya memperihal apa yang Mina tahu saja.

Untuk tidak melengahkan masa lagi, jom kita tinjau bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat Pengat Pisang Campur Keledek. Bahan-bahannya : Pisang Nipah, keledek, santan, gula melaka/kabung/merah, gula perang/pasir, daun pandan,sedikit air, secubit garam dan sagu biji. Jika masih was-was lagi, bolehlah perhatikan gambar esklusif yang telah Mina muat turunkan di atas ya.




Baiklah pembaca sekalian dan Cik Ton yang sedang membaca entri ini, sebenarnya hendak membuat Pengat ni teramatlah mudah ya. Yang kita perlukan hanyalah memahami teknik/tip/formula. Kiranya kena belajarlah juga ya. Jangan main hentam semberono saja. Langkah seterusnya, cuba Cik Ton perhatikan gambar di atas. Cuba lihat baik-baik dengan menggunakan pandangan sufi masing-masing. Nampak tak apa yang tersurat dan tersirat di dalam gambar itu?. Mina pasti masing-masing sudah bersedia untuk memberi komen. Siapa tahu, sila angkat tangan ya. Ermmm..nampaknya tiada sorang pun yang angkat tangan. Biarlah Mina terangkan di sini ya.

Pisang perlu dipotong bulat-bulat. Keledek pula selepas dikupas kulit, perlu dipotong dadu dalam ukuran sederhana. Gula kabung itu perlu dihiris atau takik supaya mudah melarut. Nampak tu, gula kabung itu sudah mulai melarut sebab Mina potong di atas tempat pemotong yang baru basuh basah berair. Daun pandan perlu dibasuh dan disiat-siat kemudian disimpulkan dengan kemas. Sagu biji perlu direndam dengan air. Sagu biji ini diperlukan dalam kuantiti yang sedikit saja ya sebab keadaan biologinya yang cepat mengembang dan jika dimasukkan secara berlebihan, dikhuatiri akan terlalu memekatkan kuah pengat itu nanti. Di sini Mina menggunakan gula perang untuk menambah rasa kemanisan pengat ini. Jika suka boleh juga digantikan dengan gula pasir putih. Ikutlah cara mana yang mudah Cik Ton. Ingat!! bahawasanya memasak itu mudah. Akhir sekali secubit garam. Fungsi garam adalah untuk melemakkan dan mengenakkan lagi rasa Pengat Pisang Campur Keledek kita nanti. Tip yang paling penting!. Kuantiti pisang perlu melebihi kuantiti keledek ya. Nisbahnya 1 : 2

Anda faham ke tidak ni?. Nampak muka masing-masing macam blur aje?. Kalau tidak faham sila angkat tangan. Mina sudah banyak kali suruh angkat tangan tapi anda semua bolayan.




Step pertama, keledek perlu direbus terlebih dahulu.



Rebus sehingga keledek menjadi empuk dan sesudah keledek ini empuk, sila buangkan sedikit air rebusan keledek tadi. Padamkan dahulu api dapur. Tinggalkan sedikit air saja ya.



Kemudian, masukkan daun pandan, gula kabung, gula perang, garam, pisang dan sedikit air.



Masukkan pula santan dan kacau perlahan dengan menggunakan senduk kayu. Kuantiti air perlu dimasukkan separas kuantiti pisang dan keledek. Api dapur boleh dihidupkan semula ya. Kepekatan kuah pengat juga ikut suka anda lah ya. Takkan itu pun Mina nak beritahu.



Masukkan pula sagu biji yang sudah mengembang. Jika anda tidak suka warna pengat yang terlalu perang, sila kurangkan kuantiti gula kabung itu ya. Bergantung pada selera masing-masing. Jika ikut selera tekak Mina ini, Mina suka yang warna pengatnya perang kecoklatan. Bak kata nenek Mina yang bermaustatin di London 'Dark Brown'.



Kemudian kacau hingga kuah pengat ini mendidih. Kacau dengan perlahan. Jangan sampai pisang dan keledek itu hancur pula. Rasa tahap kemanisan yang anda inginkan. Jika kuah pengat sudah mendidih, bolehlah dipadamkan api dapur ya. Setelah api dapur dipadamkan, kalau boleh alihkan periuk itu ke tungku dapur lain yang tidak panas dan kacau secara perlahan-lahan. Mina tidak mahu, nantinya kuah pengat buatan anda ini akan pecah pati santan dan kelihatan berketul-ketul santannya ya. Ini adalah teknik membuat pengat yang lazat. Petua turun temurun ini adalah wasiat dari arwah nenek Mina. Petua ini ada termaktub di dalam Kitab Resipi Orang-Orang Lama.



Kemudian, senduk ke dalam mangkuk hidangan. Bancuh air Teh 'O' kurang manis untuk dipadankan dan dinikmati bersama Pengat Pisang Campur Keledek ini. Semasa memasak menu Pengat Pisang Campur Keledek ini, aroma harum daun pandan bercampur dengan wangian santan dan pisang benar-benar menggoda jiwa dan menjadikan nafsu makan jiran-jiran tetangga meronta-ronta minta dibelai tekaknya. Tanpa buang masa, Mina pun mengirim semangkuk dua hidangan minum petang ini kepada penghidu-penghidu tegar Pengat Pisang Campur Keledek buatan Dari Dapur Mina. Sekadar untuk berkongsi rasa, apa salahnya.



Untuk menjadikan penglihatan pembaca lebih dramatik lagi, di sini Mina telah sediakan gambar 'close up' untuk anda. Ada tercium aroma lemak wangi tak?. Kalau tak ada tu, memang lah. Memanglah anda telah diserang penyakit resdung. Fuhhhhh...harumnyaaa....

P/S: Jangan lupa klik iklan kat atas dan tepi tu tau. TQ


12 comments:

  1. assalam,wah,cik mina kita dah kembali berlogging,pengat ni mmg cun,rasanya tentu lebih mengancam..I like,terubat rindu dihati.

    ReplyDelete
  2. kak mina...

    sy br tjumpa blog akak ek trus follow...suka blog ni sbb siap ltk pic step by step..i likeee!!

    ReplyDelete
  3. W'salam Mak Teh,

    Alhamdulillah diatas doa Mak Teh yang tulus ikhlas itu, Allah swt telah menggerakkan hati Mina untuk ke dapur, memasak dan merakam gambar-gambar masakan langkah demi langkah. Sebenarnya Mak Teh, lately ni Mina tetap memasak tetapi hendak memetik kamera itu agak malas sedikit. Sebab itulah Mina selalu mengharap agar pembaca blog sekalian selalu mendoakan agar Mina sihat dan terus teruja bersemangat untuk berkongsi resipi masakan untuk dimuatkan dalam blog ini.

    Sekali lagi, terima kasih di atas keprihatinanmu Mak Teh.

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum wbt Fashah,

    Terima kasih sudah menjadi follower di blog Dari Dapur Mina. Semoga Fashah bisa menimba ilmu dan menambahkan lagi koleksi resipi masakan melalui entri-entri di dalam blog ini. Cuba, jangan tak cuba tau!

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum kak, saya adalah seorang silent reader blog akak ni dan terus terang saya katakan, saya amat2 menyukai blog akak dan sentiasa ternanti2 resepi2 akak. Alhamdulillah, apa yang kak ajar mmg sy praktikkan utk keluarga. semoga akak sihat selalu agar dpt terus berblogging -nani-
    p/s Rindu nak tengok akak kerap post resepi baru cam dulu :)

    ReplyDelete
  6. Norlie, kalau suka , selalu-selalulah singgah di sini ya. Mina sangat mengalu-alukan kedatangan anda semua.

    ReplyDelete
  7. W'salam

    Alhamdulillah, akak sihat walafiat. InsyaAllah, akak akan terus mengupdate blog masak ini dengan lebih kerap lagi. Almaklumlah lately ini akak agak busy dengan urusan persekolahan anak-anak yang menuntut masa dan perhatian dari akak. Semakin tua, semakin pendek masa akak rasakan. Tidak sempat menyudahkan pekerjaan, tiba-tiba hari sudah menjangkau ke senja sedangkan pekerjaan yang telah disenaraikan hari itu untuk dibereskan tidak usai lagi. Doakan semoga akak diberi keberkatan masa bagi membolehkan akak terus berkarya di blog-blog yang akak sayangi ini. Ameen. Terima kasih di atas keperihatinan adik ya.

    ReplyDelete
  8. Salam perkenalan Mina, dari dapur Mak Teh nampak pengat ni datang singgah kut-kut ada lagi. SELAMAT HARI RAYA MAAF ZAHIR BATIN

    ReplyDelete
  9. Salam Ukhwah dan Salam Lebaran juga dari Mina sekeluarga buat akak di sana. Semoga silaturrahim ini akan berpanjangan. Terima kasih kerana telah menziarahi blog Dari Dapur Mina yang tidak seberapa ini :)

    ReplyDelete
  10. sedapnya lama dah tak makan pengat pisang saya ni pengemar pisang yang tegar..bab kata mat saleh banana lover..

    ReplyDelete
  11. Hi Totie,

    Nampaknya citarasa kita memanglah sama. Mina juga merupakan peminat pisang yang kronik. Ala-ala nak sakit jiwa gitu jika terpandang tandan-tandan dan sisir-sisir pisang yang bergantungan di gerai-gerai buah-buahan tepi jalan. Bukan setakat pisangnya saja yang Mina suka, jantung pisang, bunga pisang, haruman daun pisang juga Mina suka. Mina suka membakar ikan dengan beralaskan daun pisang. Hasilnya, ikan yang Mina bakar memang enak dan harum.

    ReplyDelete