Tuesday, November 1, 2011

RENDANG KERANG

Assalamualaikum wbt kepada para pembaca budiman blog Dari Dapur Mina yang masih setia mengikuti perkembangan blog ini walaupun hakikatnya blog ini tidak Mina kembangkan dengan menambah entri resipi-resipi baru. Jangan merajuk dulu wahai pembaca sekalian. Semasa blog ini tidak mengembang, yang semakin mengembang nampaknya adalah badan Mina. Mina telah diserang 3G. 3G stand for gemuk, gendut & gebu.

Walaubagaimanapun pembaca sekalian, walauapapun yang sedang anda lakukan, jangan biarkan obesiti menghantui kehidupan dan mengganggu aktiviti seharian anda. Susun masa dengan efisen dan pastikan aktiviti senaman dimasukkan 30 minit sehari di dalam jadual harian anda. Anda tidak perlu susah-susah berjoging di luar rumah untuk bersenam. Di hadapan laptop dengan memasang DVD aerobik pun anda boleh bersenam hingga mengeluarkan peluh mencurah-curah tanpa dapat dibendung. Lagipun, keadaan di luar sekarang ini amatlah tidak selamat untuk kaum wanita melakukan aktiviti joging.

Mina ini memanglah, kalau sudah mula menulis tu, banyak sangat yang ingin Mina sampaikan. Sebenarnya tujuan Mina kembali ke alam maya ini adalah untuk berkongsi dengan pembaca sekalian satu resipi yang tersangatlah istimewanya. Pasti meletop. Resipi itu Mina namakan Rendang Kerang. Amacam?. Gerun tak?. Jom kita saksikan visual yang telah Mina sediakan.




Bahan-bahan yang diperlukan untuk memasak Rendang Kerang ialah kerang, santan, daun kunyit, kerisik, rempah rendang, minyak, garam, serbuk perasa, gula & bahan-bahan kisar : kunyit hidup, halia, lengkuas, bawang putih, bawang merah, cili kering, serai, cili api ( jika ingin lebih pedas ).



First of all, bersihkan kerang dan rebus kerang itu dengan menggunakan sedikit air. Gunakan api yang kuat. Nampak tak kulit kerang di dalam periuk itu sudah ternganga?. Itu menandakan yang kerang itu telah pun masak dengan sejahteranya.



Perhatikan gambarajah di atas baik-baik. Kerang yang telah direbus itu kemudiannya perlu dikopek kulit. Bahan-bahan kisar tadi perlu dikisar dengan sedikit air dan campurkan dengan 2 sudu rempah rendang. Daun kunyit tolong dihiris ikut suka hati ya. Ok, step seterusnya, jom kita menumis.



Panaskan minyak ke dalam kuali. Masak rendang lebih mudah jika kita menggunakan kuali sebab masakan ini perlu dikacau selalu. Ada faham?



Apabila minyak sudah panas, sila masukkan rempah rendang dan bahan kisar yang telah digaul rata sebentar tadi. Gunakan tahap api yang sederhana dan biarkan bahan tumisan itu garing secara naturally. Jika pembaca perasan, Mina hanya menggunakan sedikit sahaja minyak untuk menumis kerana masakan ini memang rich dengan lemak, so Mina cuba untuk mengurangkan tahap kalestrolnya. Lagipun sebagaimana yang pembaca tahu, Mina suka menggunakan minyak jagung didalam masakan.



Setelah bahan tumisan itu garing, reti-retikanlah diri untuk memasukkan kerisik. Kuantiti kerisik ikut suka kamu lah Cik Ton. Kalau agak-agak nak meninggal cepat, sila masukkan banyak-banyak. Tetapi jangan pula salahkan Mina jika sesuatu yang tidak diingini berlaku dengan kesihatan anda. Baiklah, sila kacau kerisik itu hingga sekata.




Kemudian, masukkan santan. Mina hanya menggunakan seringgit saja. Maklumlah Mina nak lari dari situasi 3G. Kacau lagi.




Bila dah kacau beginilah rupanya. Mesti pembaca mengumpat Mina di dalam hati. 'Kenapa nampak tak ada minyak pun?'. Hahaha..inilah tip dan rahsia yang pakar masakan dunia tidak memberitahu anda. Hari ini biarlah Mina yang memecahkan rahsianya. Tipnya ialah, masak kuah rendang ini dengan menggunakan api yang kecil dan pastikan anda selalu mengocak kuah rendang ini. Kacau sekali-sekali untuk memastikan tiada terjadi kerak dibawah hinggalah kuah ini garing dan terbit minyak. Jom kita lihat gambar seterusnya.




Taraaa...nampak tu. Kuah rendang Mina sudahpun naik minyak dan garing dengan selengkapnya. Time ini bolehlah pembaca memasukkan garam, sedikit gula & serbuk perasa (jika suka). Rendang wajib ada rasa manis sedikit ya. Pastikan hanya manis sedikit. Jika tidak, rasa rendang anda akan hambar sehambarnya.



Part ini yang paling Mina suka. Masukkan kerang yang sudah direbus tadi dengan lemah gemalainya dan taburkan hirisan daun kunyit. Akhir sekali, kacau hingga sekata.



Beginilah hasilnya rupa Rendang Kerang setelah dikacau dengan elok dan sopan santunnya. Jangan lupa rasa tahap kemasinan, kemanisan dan kelemakannya mengikut citarasa anda ya.




Rendang Kerang ini sesuai dimakan bersama Nasi Putih, Nasi Lemak, Roti dan Biskut. Kalau anda hendak kirim buat bekalan saudara mara anda yang ingin menunaikan haji, pastikan anda keringkan lagi kuah rendang tadi. InsyaAllah, Rendang Kerang ini tidak akan basi. Dengan syarat tahap kebersihannya semasa penyediaan masakan ini dijaga dengan rapi. Pastikan santan juga merupakan santan yang baru. Kalau hendak mudah, anda boleh gunakan santan kotak yang telah disterilkan. Pasti Rendang Kerang anda tidak basi dan enak dimakan dengan apa saja. Ala-ala Serunding Kerang gitu.




Ini pula adalah gambar close up. Mina sertakan gambar ini adalah dengan niat untuk membangkitkan selera anda dan semoga anda tidak malas ke dapur untuk mencuba resipi Rendang Kerang yang baru sahaja Mina persembahkan kepada anda. Baiklah pembaca sekalian, tangan Mina sudah lenguh menaip. Mina ingin tidur barang seminit dua untuk merehatkan diri. Wassalam.



14 comments:

  1. assalamualaykum dear Mina..hilang rindu...jgn la menyepi lama-lama..rendang kerang mmg sedap..raya haji ni,boleh la mak teh buat.tapi lece la nak kupas kerang yg berkilo2 tu.selepas ni masakan apa pula ya...

    ReplyDelete
  2. wahh..kak Mina dh update.... blog yg sana tu update jugak tak? nk g jenguk ni..eheheheheh

    ReplyDelete
  3. Waalaikummussalam Mak Teh

    Alahai, terharu sungguh Mina dengan kesetiaan Mak Teh yang tak berbelah bahagi ni. Syukur alhamdulillah kerana Mina ditemukan dengan sahabat yang baik seperti Mak Teh. Mina baru sembuh dari demam lah Mak Teh. Fenomena cuaca akhir-akhir ni sangatlah tidak menentu. Penyakit mudah merebak dan Mina pula tak jaga makan, tu yang penyakit susah nak kebah. InsyaAllah, Mina akan kuatkan semangat untuk terus menulis entri-entri di blog ini.

    Ok..Mina ingin memberi tip pada Mak Teh. Kalau Mak Teh malas nak kupas kerang, Mak Teh suruhlah anak-anak Mak Teh buat kerja terlebih masa tu. Actually, Mina pun bukannya rajin sengat. Kerang-kerang tu semua telah dikopek oleh anak dara Mina. Senang je kan :)

    ReplyDelete
  4. Hi Cida,

    Happynya dia..hehehe...Blog buku akak belum sempat update. InsyaAllah, kalau sempat hari ini akak tulis entrinya. Selalu-selalulah datang menjenguk ke sini :)

    ReplyDelete
  5. salam ziarah dari exeter uk..saya terjumpa blog akak masa nak cari resepi karipap..alhamdulillah saya dah cuba, suami cakap sedap kulitnye..time kasih..rindu masakan kampung....saya simpan blog ni sebagai rujukan memasak saye ye..time kasih :-)

    ReplyDelete
  6. Waalaikummussalam Ismi

    Alhamdulillah, itulah yang akak harapkan agar pembaca blog ini dapat menghayati resipi-resipi di sini dan mengaplikasikannya menjadi hidangan keluarga yang sungguh enak lagi menyihatkan. Akak suka berkongsi sesuatu yang mudah, praktikal & sedap dimakan untuk tatapan pembaca blog ini. Maksudnya masakan yang relevan untuk disediakan dirumah buat menjamu selera bersama keluarga. Bila masakan itu mudah, maka kerja-kerja di dapur juga menjadi senang dan nampaknya slogan akak yang berbunyi 'Sesungguhnya memasak itu mudah' boleh digunapakai dan terlasana.

    Ismi jangan lupa untuk mencuba resipi-resipi lain yang ada di blog ini ya. Salam dari Malaysia untuk Ismi yang jauh nun di sana :)

    ReplyDelete
  7. Assalamualaikum kembali,

    salam aidil adha, melihat resepi baru ketupat palas, rindu dengan ketupat mak, kami orang pasir mas kelantan, mak memang wajib sediakan ketupat palas, tapi saya tak pandai nak balut, dulu2 kalo tolong mak, asyik jadi baju kimono saje, buruk rupe ketupat saya. Sedikit berbeza cara memasak ketupat palas dengan akak, tapi 'tujuan' nya sama, mesti sedap kan....rinduuunye...sini ketupat x jumpe, tunggu balik malaysia..salam perkenalan ye..cantik dapur akak... :-)

    ReplyDelete
  8. Waalaikummussalam Ismi

    Alhamdulillah, Salam Eidul Adha juga buat Ismi di sana. Ketupat Palas buatan akak adalah Ketupat Palas versi utara. Ketupat Palas versi Kelantan, akak tak pasti cara membuatnya bagaimana. Ada orang suka memasukkan badam & gajus ke dalam Ketupat Palas itu. Dan ada juga ketupat Palas yang berbeza cara menanaknya. Walaupun banyak perbezaan dari segi cara membuat Ketupat Palas, bahan utamanya tetap menggunakan beras pulut. Betul kan?.

    Usah bersedih hati Ismi, nanti bila sudah kembali ke Malaysia, pasti Ismi akan berjumpa makanan popular ini. Agak-agaknya, entah apalah menu hari raya Ismi di sana ya?.

    ReplyDelete
  9. Assalamualaikum,

    Sambutan raya tak seberapa, cuma di rumah saje. Masak rendang ayam segera (adabi), pulut kuning, nasi lemak + ayam bakar. Kebetulan ada kawan dari Msia baru sampai minggu lepas sambung belajar di sini, sambut ber-5, saya sudah ada 2 anak lelaki, 4 dan 2 tahun.

    ReplyDelete
  10. W'salam Ismi

    Alhamdulillah, sedap juga menu hari raya Ismi di sana.Tambahan pula ada kawan yang datang bertandang, sure meriah suasana raya di sana kan?. Hari raya korban di Malaysia, kebanyakan masyarakat menunaikan ibadah korban, so masjid memang menjadi tempat tumpuan.

    Sebenarnya menu hari raya masyarakat Islam di Malaysia kaya dengan segala lemak. Cuba Ismi banyangkan ya, semua masakan hari raya pasti ada kandungan santan. Kari, rendang, lodeh, ketupat palas, lemang dan banyak lagi.InsyaAllah Satu hari nanti akak akan tukar kombinasi masakan hari raya ke arah yang lebih sedap lagi menyihatkan. Mungkin masakan yang ada santan akak limitkan untuk satu menu saja.

    ReplyDelete
  11. Assalamualaikum,
    Apa khabar kak? Seronok rasanya bila tengok ada entry baru di blog akak ni. saya doakan akak terus sihat sentiasa. InsyaAllah. -Nani-

    ReplyDelete
  12. Waalaikummussalam Nani

    Ameen diatas doa yang baik itu. Alhamdulillah, akak sudah sihat seperti biasa sekarang. Terima kasih sebab prihatin tentang diri dan kesihatan akak. InsyaAllah, akak akan rajin-rajinkan diri dan ringan-ringankan tulang untuk mengupdate blog masak ini. InsyaAllah.

    ReplyDelete
  13. Hai Mina, saya bru menjengok blog ini, sedap2lah masakan mina.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah jika anda suka. Terima kasih kembali :)

      Delete